18 August 2010

Isu gambar Sultan Johor : DSAI jumpa polis esok

KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan esok bagi membantu siasatan berhubung penggunaan gambar Sultan Johor Sultan Ibrahim pada kain rentang satu ceramah parti itu di Batu Pahat bulan lepas.

Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat akan diambil keterangan pada pukul 11 pagi di ibu pejabat PKR di Merchant Square, Tropicana, Petaling Jaya.

“Ini berkaitan penyiasatan penggunaan foto Sultan Johor kononnya oleh penganjur ceramah di Batu Pahat,” kata satu kenyataan dikeluarkan di sini petang ini.

Semalam, Ketua Polis Batu Pahat ACP Ibrahim Mohd Aris berkata keterangan Anwar akan diambil dalam masa terdekat supaya siasatan mengenai penggunaan gambar itu dapat diselesaikan segera.

Polis setakat ini telah merekodkan keterangan daripada 52 orang individu termasuk penduduk tempatan dan ahli politik antaranya Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng.

Ibrahim berkata polis telah merampas empat kain rentang yang dipasang di Semerah, Parit Sulong, Sri Gading dan Rengit.

Ketika bertitah pada majlis penutupan Kembara Mahkota Johor Bermotosikal di Kota Tinggi minggu lepas, Sultan Johor melahirkan rasa murka terhadap tindakan menggunakan gambar baginda itu kerana perbuatan itu boleh memecahbelahkan masyarakat. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive