oleh YB Mujahid
September 02, 20102 SEPT — Setiap bulan Ramadan orang mukmin akan menanti saat-saat dia merakamkan satu keistimewaan yang berlaku pada dirinya sehingga peristiwa itu akan dianggap sebagai sesuatu yang memberi makna kepada puasanya tahun ini. Selalunya itu adalah pengalaman peribadi yang dikaitkan dengan suasana malam-malam ibadat yang dilaluinya khusus pada malam-malam Lailatul Qadar.
Selain daripada saya turut mengharapkan ibadat saya lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya, saya tidak dapat melarikan diri daripada memerhatikan gelagat manusia di bulan Ramadan. Walaupun saya orang politik tetapi saya suka melihat gelagat suku-sakat politik macam saya. Bezanya ialah saya cuba untuk menjadi orang politik yang berhemah dan bersikap anak jantan, paling pantang saya ialah melihat spesis orang politik yang baling batu sembunyi tangan atau bersikap bacul dan penyebar fitnah! Bukan apa, jenis ahli politik begini selalunya tidak mempunyai kekuatan sendiri untuk berhadapan dengan pesaingnya dan mereka mengambil jalan mudah dengan menabur fitnah, biarlah isu yang ditabur itu betul atau pun tidak.
Di bulan Ramadan isu politik di Malaysia tidak pernah “berpuasa”, dari awal puasa Pulau Pinang menjadi sasarannya apabila pagi-pagi Ramadan lagi berita peniaga Melayu di Komtar dilaporkan “marah” kerana kerjaan negeri menghalang mereka daripada berniaga, keluhan mereka dipampangkan di dada-dada akhbar dengan skrip yang dah dijangka berbunyi: “Dulu kami berniaga tak ada masalah pun, hari ini kerajaan Pakatan Rakyat menghalang kami orang-orang Melayu daripada berniaga, kami tak puas hati!” TV memutarkan cerita peniaga Komtar dengan berbagai cara, yang penting terlekat dalam kepala penonton satu mesej: “DAP anti Melayu!”
Setelah gempar dan gegak gempita seantero dunia isu peniaga Melayu di Komtar yang dihalang berniaga oleh kerajaan PR barulah isu sebenar terbongkar. Hakikatnya Persatuan Peniaga Komtar selama ini tidak membayar kepada PDC, lot-lot perniagaan yang disewa oleh peniaga Melayu. PDC dalam pemerintahan PR tidak mahu mengulangi amalan tidak amanah ini setelah bertahun-tahun dalam keadaan demikian. PDC terpaksa mengambil satu tindakan tegas. Peniaga Melayu baru tahu bahawa selama ini duit sewa yang mereka anggap sudah selesai rupanya tak kesampaian di kantong tauke sebenarnya iaitu PDC. Persatuan Peniaga Komtar entah atas apa alasan gagal menjadi agensi yang dilantik oleh PDC untuk menjalankan amanah. Kalau anda ke Komtar hari ini suasana peniaga Melayu di ruang ligar Komtar tetap meriah malah lebih meriah dari tahun sebelumnya! Apa isunya? Mana soal peniaga Melayu dilarang berniaga? Siapa yang yang menyangak orang Melayu di Komtar? Tapi bagi suku-sakat politik perkauman sempit, itu tidak penting, yang penting matlamat mereka sudahpun berjaya iaitu “DAP anti Melayu” Berjayanya pembohongan ini pada tahap tertentu menyebabkan saya menjadi tumpuan utama di majlis sosial dan keluarga kerana sebagai orang Penang ,saya orang PAS diminta untuk berbuat sesuatu bagi “menyelamatkan” Melayu Pulau Pinang dari kerajaan PR pimpinan DAP. Sememangnya spesis yang kini semakin pupus dari keturunan perkauman sempit semakin terdesak demi menyambung talian hayatnya yang dah nyawa-nyawa ikan.
Debu baru sahaja turun dan keadaan cerah semakin nampak, gegar lagi sekali Pulau Pinang oleh isu khatib menggantikan doa Raja dengan Lim Guan Eng. Dibantai kerajaan PR dan digambarkan dengan semua teknik special effect dengan menggunakan studio Hollywood paling canggih, matlamat misi “Bagi orang Melayu marah kepada kerjaan PR, khusus kepada DAP dan PAS”. Walaupun beberapa PC dibuat bagi menafikan isu ini, spesis parti perkauman sempit ini terus memainkan isu ini bagi menyemarakkan api perkauman sehinggakan golongan yang mudah “dirasuk” kerana lemah daya tahan fitnah ini meronta-ronta sambil mulutnya berbuih menyebut “DAP jahat! PAS jahat!, PR jahat!” Syaitan-syaitan yang dikurung bulan Ramadan senyum sambil berkata “lihatlah… syaitan manusia lebih hebat daripada kita, mereka setia kepada kita, walaupun kita dikurung mereka tetap menjalankan tugas kita”. Kerajaan PR berhempas pulas mengatakan tiada arahan resmi apatah lagi menggantikan nama Lim Guan Eng dengan Raja, Subhanallah. Tetapi niat jahat mereka dibalas dengan kesempatan PAS menerangkan bahawa secara umumnya mendolan hidayah Islam kepada individu bukan Islam pernah dibuat oleh Rasullallah yang berdoa untuk dua Omar iaitu Omar Ibnu Khattab dan Omar atau Amru Ibnu Hisyam sedangkan kedua-duanya kafir. Akhirnya Allah memilih Omar ibnu Khattab. Soal ganti nama Guan Eng dengan Raja atau TYT adalah pembohongan besar Ramadan tahun ini! Adapun soal mendoakannnya pada waktu khutbah, khatib sendiri mengakui “salah tempat” tetapi mendakwa doa itu tidak ada masalah.
Terkini YB Teoh dari Parlimen Serdang di serang kerana berucap dalam surau di kawasannya. Katanya ia menghina kesucian mesjid kerana orang kafir masuk mesjid berucap, apatah lagi ia anjuran PAS. Saya sudah jemu nak ceritakan special effect yang ditempah khas dari studio Hollywood untuk “spin” cerita di Serdang ini tetapi saya cuma ingin pembaca memahami terlebih dahulu dari sudut Islam apa hukumnya bukan Islam masuk rumah ibadat Islam? Ringkasnya masuk tidak ada masalah dengan bersyarat, pertama dengan niat baik, kedua untuk mendengar kata-kata baik, menjaga adab mesjid dari sudut pakaian dll. Semua syarat itu jika terlaksana maka harus hukumnya bagi bukan Islam masuk ke mesjid atau surau. Mungkin satu hari bukan Islam mahu mendengar kuliah tentang keadilan Islam di mesjid atau surau, salahkah? Panjang ceritanya tetapi saya cadangkan kalau mahu tahu lebih lanjut cuba tanya YB Pasir Mas yang memimpin Perkosa... opps sori Perkasa, mungkin dia akan “mencerahkan” anda dengan pandangan “bernasnya” tentang bukan Islam masuk surau atau mesjid. Tapi jangan terkejut jikalau rujukan beliau bukan Sirah Nabawiyah tetapi Sirah Melayuwiyah
No comments:
Post a Comment