BANTING – Kunci air Pekan Banting dekat sini, semalam menjadi lokasi kelima pencarian bahan bukti berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya termasuk beberapa kes kehilangan individu lain dipercayai membabitkan suspek utama.
Lokasi baru yang bersebelahan dengan tapak Uptown Banting itu hanya terletak hampir 500 meter dari lokasi polis menemui objek seakan-akan gelang emas di kunci air Kampung Sungai Lang, Selasa lalu.
Suspek utama berusia 41 tahun yang memakai pakaian lokap berwarna biru dibawa polis ke lokasi, kira-kira jam 10 pagi.
Unit Skuba dari Pasukan Gerakan Marin yang terdiri daripada lima anggota seterusnya melakukan kerja mencari dipercayai telefon bimbit termasuk bukti lain milik mangsa.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati air di saliran itu keruh dan berwarna kuning berikutan hujan lebat sebelum itu.
Suspek yang dikawal ketat polis kemudiannya dilihat menunjukkan lokasi itu dan seterusnya diarahkan masuk ke dalam kenderaan polis.
Media daripada pelbagai agensi hanya dibenarkan berada sekitar 100 meter daripada lokasi kejadian.
Jalan utama sekitar kunci air ditutup kepada kenderaan awam sepanjang tempoh polis melakukan kerja pencarian.
Bagaimanapun, selepas dua jam, Unit Skuba tidak menemui sebarang objek untuk dijadikan bahan bukti.
Kelmarin, suspek berusia 41 tahun itu turut dibawa polis ke lokasi sama dipercayai bagi mencari petunjuk baru kes pembunuhan itu.
Sosilawati, jutawan kosmetik yang mengasaskan produk Nouvelles Visages bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44, peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.
Sebelum ini, polis menemui jam tangan, tulang, pisau dan zink di tiga sungai antaranya Sungai Panchau, Sungai Kanchong Laut dan Sungai Gelanggang Buaya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Sosilawati - Sinar
No comments:
Post a Comment