20 September 2010

Pelajar IPTA buang bayi

Bayi yang ditemui di belakang rumah pelajar tersebut


JITRA: Helah seorang siswi sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berpura-pura konon menemui seorang bayi perempuan yang masih hidup di belakang dapur rumahnya di Taman Rasa Sayang, tidak menjadi apabila dia akhirnya mengaku membuang bayi itu ketika disoal siasat polis, kelmarin.

Sebelum ini, remaja berusia 20 tahun itu mendakwa tidak sihat selain muka pucat dan tidak bermaya bergerak menyebabkan polis mengesyaki sesuatu mencurigakan sebelum dia akhirnya mengaku melahirkan bayi berkenaan.

Suspek masih belajar semester ketiga di sebuah IPTA di Selangor itu dipercayai meletakkan bayi seberat 2.8 kilogram yang baru dilahirkannya di bahagian luar pintu dapur rumahnya sebelum masuk semula ke dalam rumah untuk mandi.

Difahamkan, suspek melahirkan bayi berkenaan di rumah terbabit seorang diri sebelum mengambil keputusan meletakkan bayi itu di luar rumah bagi mengelak dikesan ahli keluarganya.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 petang kelmarin sebelum bayi itu ditemui setengah jam kemudian selepas disedari ibu dan adik-beradik suspek yang sebelum itu mendakwa terdengar tangisan bayi ketika mandi.

Bagaimanapun, ibu suspek berusia 40-an menghubungi ambulans untuk memaklumkan penemuan bayi perempuan yang cukup sifat dan masih hidup itu untuk dibawa ke hospital.

Bayi perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Jitra (HJ) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan sihat.

Selain itu, polis turut menemui cebisan daging dipercayai uri bayi terbabit di lokasi kejadian dan mengambilnya sebelum dihantar ke HJ bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, remaja perempuan berbadan kecil itu dikatakan menyembunyikan kandungannya itu dengan memakai pakaian bersaiz besar bagi mengelak diketahui keluarga kerana bimbang dimarahi.

Katanya, keluarga suspek terkejut apabila anggota polis yang datang ke rumah untuk mengambil keterangan memaklumkan bayi itu sebenarnya anak kepada remaja berkenaan.

“Keluarga remaja itu mendakwa langsung tidak tahu kejadian itu kerana tiada tanda-tanda yang suspek hamil, malah turut mendakwa datang haid bulan lalu.

“Selain itu, suspek mendakwa dia trauma sebaik menemui bayi itu menyebabkan keluarganya tidak mengesyaki apa-apa,” kata sumber berkenaan.

Berikutan itu, suspek ditahan polis kira-kira jam 8.30 malam kelmarin dan dibawa menjalani pemeriksaan lanjut di hospital sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan polis sudah menahan ibu bayi berkenaan bagi membantu siasatan.

“Suspek kini direman empat hari bermula semalam dan masih dirawat di hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Kubang Pasu, Mohd Shabbri Othman berkata, bayi perempuan itu kini di bawah jagaan pihaknya selepas kes dimaklumkan polis.

“Bayi berkenaan diberi perlindungan JKM buat sementara dan kami masih menunggu siasatan polis,” katanya - Metro

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive