25 September 2010

Susulan kes Sosilawati: Pemuda PAS desak hudud atasi jenayah serius

Oleh Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Di sebalik pembunuhan kejam yang terbaru, Dewan Pemuda PAS ulangi desakan agar undang-undang jenayah Islam digubal bagi mengatasi masalah sosial serius - perkembangan terbaru yang kemungkinan akan membuka semula kontroversi lama melibatkan komponen pembangkang.

Undang-undang jenayah Islam yang turut dikenali sebagai hudud, yang membolehkan peruntukan memotong dan direjam sehingga mati bagi jenayah-jenayah serius, pernah membawa kepada 'keruntuhan' ikatan pembangkang hampir dua dekad lalu.

Bagaimanapun Pakatan Rakyat (PR) telah menggugurkan soal undang-undang itu dalam Dasar Bersama dicapai Disember lalu.

“Sistem perundangan semasa tidak berjaya, jadi perlu ada satu sistem alternatif,” kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pada sidang media hari ini.

Sayap muda PAS mengambil pendirian ini ekoran pembunuhan kejam jutawan produk kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain baru-baru ini.

Mereka dilaporkan dibunuh, dibakar dan abu mereka dibuang ke dalam sungai di Banting.

“Kami telah membuka pintu kami kepada sesiapa sahaja termasuk rakan-rakan kami di Pakatan untuk perbincangan.

“Saya tidak melihat ia akan bertentangan dengan semangat Pakatan Rakyat yang bercita-cita untuk membentuk satu kerajaan yang adil,” kata Nasrudin ketika menjawab soalan bahawa syor diadakan undang-undang Islam bukan sebahagian daripada dasar PR.

“Sekarang kami meminta kerajaan agar melakukan yang ini. Jika ia terbukti berjaya, saya tidak melihat mana-mana pihak akan membantah termasuk Pakatan,” kata beliau selepas mesyuarat dewan itu tengah hari ini.

Kelantan merupakan negeri pertama menggubal undang-undang seumpama itu pada 1990. Terengganu ketika diterajui PAS juga melakukan perkara itu.

Bagaimanapun kedua-dua negeri itu tidak dapat menguatkuasakan kerana soal kesahihan enakmen berkenaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang digubal di Kelantan dan Terengganu kemungkinan boleh diperkenalkan di peringkat persekutuan,” kata Nasrudin.

“Ia adalah undang-undang komprehensif tetapi tidak dapat dikuatkuasakan ekoran halangan kesahihan,” katanya.

Barisan Nasional (BN) telah mengisytiharkan Malaysia adalah sebuah negara Islam tetapi tidak mengambil langkah memperkenalkan undang-undang hudud atas alasan negara ini terdiri daripada penduduk pelbagai kaum - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive