11 October 2010

Pemilihan PKR : Khalid sah bertanding jawatan no 2 PKR

SHAH ALAM, 10 Okt — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini - pemimpin ketiga mengesahkan pendirian turun gelanggang kerusi nombor dua.

Dua yang lain telah pun mengesahkan keputusan bertanding ialah Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub yang masing-masing merupakan naib presiden PKR.

Turut dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden ialah Datuk Zaid Ibrahim, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Zaid yang disebut-sebut akan bertanding kerusi ini, minggu lalu menyatakan kesediaan memberi laluan kepada Nurul Izzah jika bersedia bersaing jawatan timbalan presiden.

Kesemua mereka yang dicalonkan mempunyai masa sehingga 16 Oktober ini untuk mengesahkan penerimaan pencalonan.

“Saya, Abdul Khalid Ibrahim, hari ini dengan rasminnya menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti yang akan berlangsung November ini,” kata beliau pada sidang media di kediamannya hari ini.

Kata Khalid, ramai yang mungkin tertanya mengapa beliau mahu masuk bertanding dalam pemilihan yang telah banyak menerima persepsi negatif dalam laporan media dan dalam parti sendiri.

“Saya melihat apa yang berlaku menampakkan kepimpinan berpuak dan serangan peribadi,” kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini menambah, seperti yang beliau katakan minggu lalu, perkembangan ini tidak sihat untuk parti dan perlu diperbetulkan.

“Sebagai salah seorang pemimpin parti dan Menteri Besar negeri Pakatan Rakyat, saya akan cuba memperbetulkan keadaan ini.

“Dan, kerana inilah, saya mengambil keputusan untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti.

Bagaimanapun, kata Khalid, beliau mahu memastikan keputusannya memberi kesan positif kepada parti.

“Untuk ini, saya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menilai kesan tawaran bertanding kepada pentadbiran dan perpaduan parti,” kata beliau.

Bekas pengerusi PKR Selangor ini menambah, jawatankuasa itu terdiri daripada Syed Shahir Syed Mohamud, Irene Fernandez, Tian Chua dan Dr Muhamad Nur Manuty dan mereka ini bebas mengadakan rundingan dengan pemimpin parti yang berkaitan sehingga 15 Oktober.

Tempat beliau sebagai pengerusi negeri telah digantikan dengan Azmin.

“Sekiranya jawatankuasa menasihatkan tawaran saya ini tidak baik untuk parti dan ada cara yang lebih baik untuk saya berkhidmat kepada parti, saya akan akur dengan nasihat ini.

“Jika Jawatankuasa ini berpendapat tawaran saya baik untuk parti, saya telah pun menggariskan lima teras perjuangan bertemakan “Memperkasakan Reformasi”,” katanya.

Khalid turut gelanggang pemilihan dengan lima teras iaitu setia kepada perjuangan, meneruskan agenda perubahan, merakyatkan ekonomi, menolak politik pecah perintah dan kesepaduan parti.

Syed Shahir yang juga ketua cabang Kelana Jaya berperanan sebagai pengurus operasi kempen Khalid.

“Saya percaya beliau boleh menolong kempen saya berjalan dengan sistematik, bersih, professional dan adil.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parti yang telah hadir untuk memberi sokongan dan semangat kepada saya untuk memastikan parti Keadilan terus berjuang di landasan yang betul,” katanya lagi.

Kata Khalid, lima teras itu akan mencorakkan pentadbiran inklusif dan mengakhiri amalan berkumpulan dan berpuak-puak dalam parti.

“Ini adalah pemilihan terakhir sebelum pilihan raya umum, jadi kita perlu pilih pemimpin yang berkualiti dan memperkukuhkan kepimpinan parti.

“Hanya dengan ini laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya akan menjadi realiti. Jadi PKR perlu mencorakkan laluan ke sana,” kata Khalid.

Khalid juga mencadangkan supaya 30 peratus pemimpin wanita dikemukakan untuk kepimpinan parti.

Tokoh korporat yang memulakan tugas dalam PKR sebagai bendahari agung itu juga kecewa dengan sikap sesetangah pemimpin yang sudah melupakan maksud sebenar reformasi dan dilihat mula menjatuhkan antara satu sama lain.

“Sudah ada pemimpin kita lupa akan tanggungjawab kita dalam memperjuangkan reformasi.

“Saya dapati pemimpin mula menjatuhkan antara satu sama lain hanya kerana mahu memimpin. Mana perjuangan sebenar kita yang selama ini memperjuangkan reformasi?

“Kenapa sanggup membunuh antara satu sama lain? Bukankah kita ini keluarga?” katanya.

Khalid berkata, perjuangan PKR bukan untuk satu tempoh yang singkat tetapi untuk jangka masa yang panjang.

“Kita bukan mahu berpolitik untuk satu hari, bukan untuk satu tahun tetapi kita mahu mengubah politik Malaysia yang sudah berusia 50 tahun.

“PKR adalah parti reformasi yang tidak takut dan berani untuk menghadapi apa jua keadaan.

“Jadi saya sahut cabaran harapan reformasi, saya mesti menentukan kejayaan parti, parti ini mesti berjaya. Parti ini mempunyai harapan dan mula disanjung rakyat, jadi kita perlu teruskan reformasi ini,” katanya. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive