27 October 2010

Sekat monopoli Astro - Wee

Ahli parlimen, Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) menyarankan kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Monopoli bagi mengawal kegiatan tersebut terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan yang disediakan syarikat besar.

Katanya, kegiatan monopoli di negara ini telah menyebabkan ruang untuk syarikat lain turut menceburi sesuatu bidang seperti perkhidmatan televisyen berbayar menjadi sangat terhad.

"Kerajaan seharusnya mengawal kegiatan monopoli tv berbayar ini dan menggalakkan persaingan, dengan membenarkan pemain-pemain lain turut serta dalam lapangan perniagaan ini demi kebaikan pengguna dan negara," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di Dewan Rakyat semalam.

Selain itu, Wee berkata bagi memudahkan kandungan televisyen dari luar negara memasuki ruangan tempatan, ia perlu diberikan kepada semua penyedia siaran televisyen tanpa hak eksklusif kepada pihak tertentu.

Beliau juga mahu kerajaan menyekat kegiatan monopoli Astro kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan kepentingan awam, malah telah menyebabkan syarikat itu mengenakan yuran langganan yang tinggi kepada pengguna.

"Peraturan perlu dikenakan agar semua rangkaian yang disiarkan di Astro, turut boleh disiarkan oleh syarikat-syarikat TV berbayar yang lain seperti TM, Maxis, Celcom, UMobile dan Redtone.

"Jika perlu, luluskanlah undang-undang penyekatan monopoli bagi menggalakkan persaingan, sekaligus memberi kebaikan kepada pelanggan untuk memilih rangkaian dengan kos yang lebih rendah," katanya.
- Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive