13 November 2010

Ahli MBPJ dan keluarga disaman RM10juta kerana Facebook

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

SHAH ALAM: Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mahharul Ismail dan tiga ahli keluarganya disaman RM10 juta berhubung kenyataan didakwa fitnah yang disiarkan menerusi laman sosial facebook.

Saman itu difailkan Pembantu Ahli Majlis MBPJ, Zalina Jaafar menerusi Tetuan Faizul Nasir & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, jam 10.30 pagi semalam.

Zalina, bekas setiausaha di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Mohd Talha hadir bersama peguamnya, Faizul Mohd Nasir.

Dalam writ saman itu, Zalina, 42, selaku plaintif menamakan Mahharul, Setiausaha Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Petaling Jaya Selatan sebagai defendan pertama diikuti dua adik perempuan lelaki itu, Maisarah dan Norsyam serta anak saudara mereka, Wan Ikhwan Wan Azani.

Plaintif mendakwa Mahharul mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di laman sosial miliknya pada 28 September lalu, manakala kenyataan di laman milik defendan Wan Ikhwan dikeluarkan pada 21 September lalu.

Katanya, Mahharul mengetahui bahawa kenyataan dalam laman sosial itu dapat dibaca dan dilihat semua pihak dan lelaki itu memang berniat jahat terhadapnya.

Beliau turut mendakwa Maisarah dan Norsyam dengan niat jahat sudah mengeluarkan kata-kata fitnah yang menyentuh peribadinya secara palsu pada laman sosial milik Wan Ikhwan.

Dakwanya, kenyataan defendan di laman itu bertujuan dan ditafsirkan plaintif sebagai perempuan tidak bermaruah, melakukan hubungan sulit dengan suami orang tanpa ikatan perkahwinan sah dan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam politik.

Menurutnya, semua kenyataan itu menyebabkan karakter dan reputasi berkaitan dirinya tercemar.

Oleh itu, dia menuntut ganti rugi RM10 juta, ganti rugi teladan, kos dan faedah pada kadar lapan peratus setahun dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon perintah injunksi bagi menghalang semua defendan daripada terus mengeluarkan kata-kata fitnah yang sama terhadap dirinya.

Sementara itu, Zalina ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia mengambil tindakan saman itu bagi memberi pengajaran kepada masyarakat di luar supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan laman sosial untuk memfitnah orang lain.

“Saya malu akibat kenyataan dalam facebook itu, ibarat saya hidup sebelum ini bagai pelacur,” katanya - metro

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive