22 November 2010

Barisan kepimpinan baru PKR

SHAH ALAM - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melabuhkan tirainya semalam, menyaksikan muka baru dipilih akar umbi dalam kepimpinan selepas berlangsung selama tiga minggu sejak 29 Oktober lalu.

Keputusan tidak rasmi semalam menyaksikan Azmin Ali memenangi jawatan Timbalan Presiden selepas meninggalkan jauh pencabar tunggalnya, Mustafa Kamil Ayub.

Sebelum ini, jawatan berkenaan ditandingi tiga calon, bagaimanapun Datuk Zaid Ibrahim menarik diri berikutan tidak puas hati dengan pemilihan yang didakwa tidak telus.

Manakala bagi saingan naib presiden, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendapat undian tertinggi diikuti Pengarah Strategi, Tian Chua; Pengarah Pilihan Raya, Fuziah Salleh dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman.

Bagi jawatan ahli MPP yang memperuntukkan 20 tempat, Ketua Penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong Keat Ping mendahului saingan, diikuti ahli MPP, Dr Badrul Amin Baharon; Hee Loy Sian; Pengarah Pemantapan Politik Keanggotaan, Datuk Johari Abdul dan Khalid Jaafar.

Ketua Wanita PKR menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin mendahului dua calon lain dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Berbeza pula dengan saingan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), persaingan sengit antara penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd Akin dan anggota MPP, Badrul Hisham Shaharin yang menyukarkan untuk mengetahui siapakah yang bakal menang.

Sumber terdekat Badrul Hisham ketika dihubungi mengesahkan kekalahan itu selepas dimaklumkan ketinggalan sedikit undi sepanjang pemilihan.

Dalam keputusan 14 November lalu, Shamsul memperoleh 3,981 undi manakala Badrul Hisham 3,273 undi, beza undi adalah sebanyak 708 undi.

Semalam hari terakhir pemilihan parti, baki 37 cabang lagi di Johor, Selangor, Sarawak dan Sabah akan mengadakan pemilihan yang berjumlah 208 cabang - Sinar Harian

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive