05 November 2010

Kenapa PAS gagal di Galas?

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
November 05, 2010

ANALISIS, 5 Nov — Tinjauan The Malaysian Insider di kalangan sekumpulan pengundi menjelang hari pengundian mengetengahkan penemuan — 51 peratus akan mengundi Barisan Nasional (BN) manakala 42 peratus memihak PAS. Baki tujuh peratus belum membuat keputusan sehingga ketika itu.

Hasil tinjauan tersusun ini memperlihatkan kelainan berbanding keputusan pilihan raya umum 2008. Pada 8 Mac 2008, calon yang bertanding kali ini — Dr Zulkefli Mohamad — walaupun bersaing di peringkat Parlimen tetapi memperoleh undi terbanyak dari DUN Galas berbanding calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah.

Malam tadi, BN memperoleh 56 peratus undi manakala PAS 43 peratus dengan pergerakan sokongan yang tidak membuat keputusan sehingga Isnin lalu — lima peratus kepada BN dan satu peratus buat PAS.

Perbualan dengan pengundi-pengundi yang ditinjau juga menghasilkan beberapa penemuan mengejutkan apa sebenarnya berlaku di Galas khususnya di Kelantan.

Melihat kepada keputusan pilihan raya kecil Galas yang memihak BN kepimpinan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nampaknya terpaksa menilai kembali punca kekalahan parti Islam itu.

BN merampas semula kerusi DUN Galas melalui calonnya Abdul Aziz Yusoff yang menewaskan calon Dr Zulkefli.

Aziz mendapat 5,324 iaitu 56 peratus manakala Dr Zulkefli menerima 4,134. Undi rosak sebanyak 132. PAS kemerosotan kira-kira 200 undi.

Aziz merekodkan majoriti 1,190 undi — hampir dua kali ganda berbanding kelebihan undi dicatatkan oleh PAS pada 8 Mac 2008.

Jika dilihat dari aspek kempen pilihan raya nampaknya strategi yang diguna pakai PAS gagal untuk mendapat sokongan pengundi Galas.

Sepanjang kempen pilihan raya kecil berlangsung PAS melalui ceramah yang diadakan lebih memberikan fokus terhadap isu-isu nasional yang langsung tidak memberi kesan kepada pengundi di DUN Galas.

Malah Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang dilihat gagal untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan daripada 11,553 pengundi berdaftar.

Sebenarnya jika dilihat dari aspek parti, PAS mempunyai kelebihan berbanding BN kerana PAS memerintah Kelantan.

Namun dek kerana kegagalan menyelesaikan masalah yang dibangkitkan rakyat ia menyumbang kepada kekalahan PAS.

Kekalahan PAS juga bukan hanya disebabkan kegagalan menyelesaikan masalah rakyat, namun termasuk kempen yang tidak berkesan.

Jika hendak dibandingkan dengan pendekatan yang digunakan BN nampaknya ia lebih berkesan.

Tengku Razaleigh, Pengarah Pilihan Raya BN DUN Galas, sepanjang kempen pilihan raya memberikan tumpuan terhadap ‘sentuhan peribadi’ antara beliau dan juga pengundi.

Malah perwatakan Aziz yang nampak “gila-gila”, mudah mesra dan peramah dilihat menyumbang kepada kemenangan BN di Galas.

Setiap kali lawatan menemui pengundi Aziz mendapat sambutan yang amat menggalakkan dek kerana sikap yang peramah dan sentiasa tersenyum.

Jika dilihat daripada hasil kemenangan yang diperoleh membuktikan strategi yang digunakan itu lebih berkesan daripada ceramah-ceramah besar yang dilakukan PAS.

Kemenangan BN dalam pilihan raya kecil ini jelas membuktikan rakyat mahukan satu perubahan dilakukan di Gua Musang yang gagal disempurnakan kerajaan negeri Kelantan sepanjang 20 tahun memerintah.

Jika kemenangan ini merupakan satu kebangkitan untuk BN dan kejatuhan PAS di Kelantan, kepimpinan kerajaan negeri yang diketua Nik Aziz perlu mengkaji semula kelemahan yang berlaku serta melakukan perubahan besar terutamanya dalam aspek pemimpin.

Walaupun usaha untuk BN merampas semula Kelantan daripada PAS agak sukar, namun ia tidak mustahil sekiranya mereka berusaha bersungguh-sungguh.

Justeru kepimpinan PAS terutamanya di Kelantan perlu lebih serius dalam menangani kekalahan di DUN Galas, banyak perkara perlu dilakukan untuk memastikan parti Islam itu terus relevan dan diterima rakyat.

Malah PAS Kelantan juga perlu melakukan perubahan besar dalam struktur kepimpinannya.

Walaupun sudah 20 tahun PAS memerintah Kelantan tetapi sekuat mana parti sekiranya tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat lambat-laun ia akan ditolak juga.

Apa yang lebih penting sekarang kelebihan memihak kepada BN dan PAS kini terpaksa akur dengan keputusan yang diumumkan semalam.

PAS kini bakal berhadapan dengan satu lagi rintangan dalam usaha untuk mempertahankan Kelantan daripada dirampas BN.

Perubahan perlu dilakukan, struktur kepimpinan PAS Kelantan perlu diubah, masalah rakyat perlu diselesaikan dan keyakinan rakyat kepada PAS perlu dikembalikan.

Justeru dalam perkara ini Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS perlu berfikir dan berbincang dengan bersama pemimpin parti untuk mencai jalan penyelesaian.

DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Seramai 9,555 pengundi atau 82.71 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Galas berbanding 81 peratus pada pilihan raya umum 2008.

Pun begitu perlu diakui PAS tidak hilang sokongan dalam jumlah besar, cuma ditinggalkan dalam jurang majoriti. Walaupun ia kerajaan negeri nampaknya PAS berhadapan dengan halangan dan rintangan di Galas khususnya Gua Musang.

Satu lagi pengalaman buat PAS dan BN mengapa masing-masing gagal dan menang semalam. - The Malaysian Insider
MS: Harap PAS maupun PKR dapat menyelami hati nurani para pengundi-pengundi terutama dikawasan-kawasan luar bandar seperti ini. Galas bukan lah Damansara. Strategi kempen kena berubah. Kena lebih kepada sentuhan peribadi. Aku bersetuju dengan penulis yang katanya calon BN tampak "gila-gila" lebih mesra dengan pengundi. (Maaf aku tak jumpa pun kedua-dua calon PAS dan BN ni sebenarnya). Tapi aku rasa itu salah satu strategi yang tepat. Orang kampong ni lain sikit penerimaan mereka. Aku harap TGNA dan DSAI dapat menyemai sikap "sentuhan peribadi" ini dalam strategi berkempen untuk masa-masa akan datang. Cuba dekati pengundi sedekat yang mungkin, bukan datang bagi ceramah bla bla bla lepas tu blahhhhh ...

2 comments:

Abdul Said said...

Aku tak nak komen tang tu sebab aku tak tahu. Tapi kalau ahli-ahli Pas dok perasan sangat, Selangor pun hancur!! Terus teranglah aku ni satu keluarga 9 orang semua sokong Pas. Sampaikan tempah tingkap ngan sliding doors pun ngan orang Pas!!. Tapi aku tengok la ni diorang macam naik tocang. Bukan ahli Pas diketepikan. Dulu tak kisah orang tak pi surau ka pi masjid ka tak apa. La ni sejak kontrol surau ngan masjid dah lain macam. Siapa tak mai kena pulau. Siapa tak ikut program dia kena pulau. Nampak nya macam nak cari nahas. Apa? Ingat yang undi diorang tu semua ahli Pas kah? Ingat sikit lebai ooi. Orang terpikat dengan Pas sebab pimpinan ulamak macam TGNA bukan sebab orang yang mengaku ustaz setengah tiang. Al Fatihah pun huruhara lagi nak berlagak. Kalau tak da pemimpin2 hebat Pas jangan haraplah kita undi PAS. Tambah-tambah yang asyik bersongkok dan berbaju batik. Sikit hari tahulah. Silap-silap jual sos dengan kitab!!!

pemerhati galas said...

ILHAM khabarnya ada buat survey diGalas sebelum diadakan pilihanraya kecil Galas.Mengikut salah seorang penyelidik ILHAM,walau pun ILHAM banyak membuat survey dan data-datanya dikemukakan kepada PAS,terutama Pemuda PAS,namun usha ILHAM tidak diambil berat dan digunakan untuk merangka steteji.Ini menunjukkan PAS masih belum bersedia dan belum mampu menggunakan fakta-fakta penyelidikan untuk merangka streteji.Munkin kerana pemimpin-pemimpin PAS yang dipertangungjawabkan untuk merancang terdiri dari gulungan yang sudah wajar bersara dan tiada kemampuan untuk membina strateji berdasarkan fakta-fakta survey kerana tidak punya pengalaman dan ilmu yang sewajarnya.
Kalau dilihat apa yang berlaku diGalas,amat nyata,serangan-serangan UMNO menggunakan bilboard besar disepanjang jalan diGua Musang,langsung tidak ditangani oleh PAS.Apa yang tercatat dibilboard-bilboard besar itu adalah "racun" yang ditabur oleh UMNO."Racun" itu munkin benar dan munkin isu-isu yang tertanam dalam dada pengundi.UMNO sudah tidak perlukan ceramah lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive