06 November 2010

Pakatan Rakyat mula kehilangan momemtum

Asri: PKR, PR perlu lapang dada terima nasihat, jangan meradang

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Sambil menekankan pentadbiran Barack Obama juga hilang momentum dalam dua tahun, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Pakatan Rakyat (PR) dan anggotanya PKR “berlapang dada” menerima nasihatnya agar dinosaur politik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar bersara daripada politik.

Dalam kes Anwar, bekas mufti Perlis meminta Ketua Umum PR bersara agar memastikan perikatan berusia dua tahun itu kekal mantap dengan memberi laluan kepada pemimpin lapisan berkualiti.

Selain PKR, PR dianggotai DAP dan PAS, dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12.

Kata Asri (gambar), jika hendak menjadi penguasa, ahli-ahli parti politik perlu belajar untuk “berlapang dada dengan rakyat jelata.”

“Bukan semua yang berbeza itu menzalimi anda!,” kata beliau dalam kenyataan disiarkan di blognya hari ini.

Kata Asri, apabila beliau menyatakan banyak dinosaur politik dalam BN dan PR yang perlu memberi ruang kepada orang lain, nama Anwar hanya disebutkan sebagai contoh.

“... seperti biasa mereka melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan.

“Saya kata bahawa jika tidak berlaku perubahan, momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti akan sukar dicapai.

“Mereka (PKR) enggan terima hakikat ini dan meradang serta membuat serangan peribadi,” kata beliau dalam tulisannya bertajuk “Jangan buruk sangka, berlapang dada: Jika tidak, bagaimana nak jadi penguasa saksama?”

Kata Asri, namun hari ini hanya beberapa hari kemudian para penganalisis politik juga mengakui PR sudah kehilangan momentum, dengan merujuk kepada tulisan dalam The Malaysian Insider bertajuk “Polls wins reveal a focused Umno, floundering Pakatan, say analysts”.

“Sebagai rakyat bawahan yang melihat permainan politik dalam negara ini, dengan sikap ‘buta warna parti’, saya dapat rasakan sejauhmanakah pertarungan itu di sudut ketangkasan dan ‘manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat’.

“Momentum sesebuah aliran politik bukan selamanya. Rakyat bukan sahaja akan terikat dengan ‘kenangan semalam’, sebaliknya mereka juga terikat dengan ‘realiti hari ini’ dan ‘impian masa depan’,” kata Asri.

Susulan komen pemimpin muda PKR, semalam seorang lagi pemimpin senior parti itu membidas Asri dengan mempertikaikan motif beliau menggesa Anwar bersara daripada politik.

“Persoalannya sekarang, kenapa beliau diminta berundur,” kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Dr Muhammad Nur Manuty dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, Asri sepatutnya menasihatkan kepemimpinan Umno BN yang memerintah kerajaan persekutuan terlebih dahulu.

Asri menambah, aliran politik yang mampu menyedarkan tentang “kisah semalam”, membuktikan kebaikannya pada realiti hari ini, dan dapat memberikan keyakinan tentang mimpi hari esok akan mempunyai momentum yang kuat di persada politik demokrasi.

“Maka, membentangkan kepada rakyat sejarah politik lepas, mempertontonkan kepada rakyat ketinggian nilai politik yang disanjung dan membuat perancangan jelas untuk masa depan, akan menjadi pilihan rakyat yang bijak.

“Atau, jika itu tiada pada mana-mana parti, rakyat akan memilih apa yang mereka rasa paling mendekati unsur-unsur tersebut,” kata pemimpin agama ini.

Sebab itu, katanya, jangan hairan jika “momentum” Presiden Barack Obama boleh surut dalam hanya masa dua tahun apabila dilihat gagal merealisasikan impian rakyat seperti yang dijanjikan.

“Walaupun kempennya hebat, tetapi apabila dia berada di pentas realiti, penilaian rakyat mula berbeza.

“Apakah mereka yang kurang momentum daripada Obama dan gagal memperlihatkan keharmonian dan kesantunan dalam parti sendiri mampu meneruskan momentum yang lepas?

“Ertinya, jika ini berterusan, PR mula kehilangan momentum,” kata Asri lagi.

“Banyak sebab, mungkin. Salah satunya ubat bagi saya, keperluan ‘mentajdidkan’ pemain utama.

“Jika tidak, mungkin negara kita hilang keseimbangan politik antara pemerintah dan pembangkang,” kata beliau - TMI

1 comment:

Anonymous said...

saya hairan krn Dr Asri hanya menilai yang melenting manakala yang membantah berhemah tak diendah.Jelas,ragam manusia pelbagai dan sebagai sorang tokoh besar takkan beliau tidak menyedari hakikat ini.Beliau jg sengala lupa tentang hujah yg menyebabkan seseorang itu perlu berundur,Usul beliau sebelum result di Galas dan Batu Sapi dan skrg result di Gals dan Bt Sapi pula jd sandaran,Sedarkah beliau bahawa cadangan beliau sedikit sebyk mempengaruhi undi di sana?Tikam dr belakang!Beliau sepatutnya sedar bahawa kekalahan itu jg krn padang tidak rata.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive