21 November 2010

Pemilihan PKR : Lagi kekecohan dilapurkan ...

Proses pemilihan PKR yang memasuki minggu terakhir kini kembali 'kecoh' apabila beberapa insiden didakwa berlaku, antaranya pertikaian dalam proses pengiraan undi.

Sekurang-kurangnya terdapat dua kekecohan berlaku semalam yang melibatkan cabang di Puchong dan Hulu Selangor - kedua-duanya di Selangor.

Menurut seorang wakil calon, di Puchong malam tadi berlakunya "drama" merampas kertas undi apabila seorang calon naib presiden dikatakan tidak berpuas hati dengan proses pengiraan undi bagi jawatan itu.

Ia ekoran dakwaan pengiraan pengundian tidak memihak kepadanya dan pengawas yang bertugas sewaktu pengiraan didakwa menyebelahi calon yang lain bagi jawatan yang sama.

Kejadian perang mulut antara kedua-dua pihak itu akhirnya memaksa pihak pengawas di situ meminta bantuan polis untuk menteramkan keadaan dan mengiringi pegawai pemilihan membawa pulang
kertas undi ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Sementara itu, di cabang Hulu Selangor pula, media melaporkan sekumpulan ahli PKR bertindak menghalang kereta yang membawa kertas undi daripada memasuki pekarangan sebuah dewan pengundian di Kuala Kubu Bharu semalam.

Lebih 100 orang dilaporkan berkumpul bagi membantah pemilihan peringkat cabang yang tidak tidak dibuat serentak dengan pengundi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Sehubungan dilaporkan berlakunya insiden tolak menolak dan pertikaman lidah antara individu kumpulan terbabit dan anggota Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR.

Di cabang Ayer Hitam di Johor pula hari ini terdapat dakwaan pemilihan tidak dapat dijalankan susulan dakwaan notis mengadakan pemilihan tidak diterima daripada ibu pejabat.

Ketua penaja cabang Zaid Mohd Yusof berkata, walaupun beliau menerima SMS daripada pengawas pemilihan pada pukul 1 pagi tadi memaklumkan proses berkenaan akan dijalankan, tetapi pihaknya enggan mengadakannya.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Zaid mendakwa, ini kerana ia " tak ikut prosedur".

"Sepatutnya kamu beritahu lebih awal," kata ketua cabang yang masih lagi ditahap penajaan.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan penjelasan daripada ibu pejabat PKR berhubung dakwaan-dakwaan itu - Malaysiakini

1 comment:

Anonymous said...

Kekecohan di Hulu Selangor olih kerana segelintiran desperado yang tak mempunyai tujuan. Mengaku mahu menjadi pemimpin tetapi mempunyai akal yang pendek.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive