21 November 2010

Pemilihan PKR : Lagi kertas undi bocor

KUALA LUMPUR, 21 Nov — Pemilihan PKR 2010 yang menutup tirainya hari ini terus dicalar dengan dakwaan terbaru — kononnya diragui ketelusan berikutan laporan sebuah blog bahawa kertas undi bagi beberapa cabang di Selangor telah bocor sebelum sesi pengundian dimulakan pagi tadi.

Hari ini adalah hari terakhir cabang-cabang PKR mengadakan proses pengundian.

Sebanyak 37 cabang melangsungkan proses pengundian iaitu 13 di Johor, tujuh di Selangor, satu di Sabah dan 16 lagi di Sarawak. Proses pengundian yang bermula 10 pagi berakhir 4 petang tadi.

Sebelum ini wujud saranan agar pemilihan pusat ditangguh dan dibatalkan tetapi parti memutuskan untuk meneruskan pemilihan.

Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah ketika dihubungi berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai dakwaan terbaru itu.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai pemilihan hari ini. Saya tidak berada di sana (pejabat PKR), saya cuma ada dengar cabang Hulu Selangor ada masalah.

“Itu sahaja, yang lain saya tidak tahu. Kena tanya pejabatlah kalau nak tahu,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.

Usaha mendapatkan pemimpin kanan PKR belum berhasil.

Biro Politik PKR mengadakan mesyuarat petang ini.

Blog People’s Parliament, yang dua minggu lalu mempersoalkan kertas undi boleh dijual beli, hari ini melaporkan borang pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang sepatutnya diserahkan kepada ahli untuk mengundi pada pukul 10 pagi tetapi diperoleh terlebih awal.

Menurut blog tersebut yang menerima maklumat tersebut daripada seorang penghantar e-mel berkata telah menerima e-mel dan gambar yang mengandungi borang pemilihan PKR.

Ekoran dakwaan blog itu awal bulan ini, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu menggunakan warna yang berlainan bagi borang pemilihan setiap minggu.

Beliau juga berkata, bagi pemilihan minggu ini warna bagi borang pemilihan MPP adalah berwarna merah jambu.

Dalam blog tersebut turut dilampirkan borang pemilihan untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden.

Ini merupakan kali pertama PKR mengadakan pemilihan secara langsung berdasarkan konsep satu ahli, satu undi.

Menurut penghantar e-mel tersebut, borang pemilihan berwarna pink itu sepatutnya hanya boleh dibuka secara rasmi pada pukul 10 pagi.

“Bagi pemilihan hari ini ia melibatkan tujuh cabang di Selangor dan 30 yang lain di Johor, Sarawak dan Sabah.

“Borang pemilihan ini sepatutnya hanya boleh dibuka pada pukul 10 pgi, saya percaya borang ini telah dibuka sebelum pemilihan bermula.

“Saya hanya menyerahkan maklumat ini kepada anda (pemilik blog) dan berharap anda boleh melakukan sesuatu,” katanya.

Sebelum ini banyak aduan telah dibuat ekorang ketidaktelusan PKR dalam menjalankan pemilihan parti itu kali ini.

Keputusan pemilihan PKR hanya akan diumumkan pada Kongres Nasional PKR bulan depan.

Kongres tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat depan akan diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sehingga 14 November lepas, keputusan terhadap saingan bagi jawatan timbalan presiden menyaksikan Naib Presiden Azmin Ali mendahului kedudukan dengan kelebihan undi sebanyak 11,350 undi.

Azmin meraih 14,751 undi manakala pencabarnya Naib Presiden dan Pengerusi PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub memperoleh 3,401 undi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendahului saingan bagi jawatan naib presiden yang memperuntukkan empat tempat dengan kelebihan undi sebanyak 1,518 undi daripada pencabar terdekatnya Pengarah Strategi PKR Tian Chua.

Nurul Izzah memperoleh 11,042 undi manakala Tian Chua dengan 9,524 undi dan mereka diikuti Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh (7,878) serta Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman (7,448).

Bagi jawatan ahli MPP yang memperuntukkan 20 tempat, Elizabeth Wong mendahului saingan dengan memperoleh 8,367 undi; diikuti Dr Badrul Amin Baharon (7,814), Hee Loy Sian (6,694), Datuk Johari Abdul (6,570), dan Khalid Jaafar (6,406).

Saingan Ketua Wanita PKR menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin mendahului dua calon lain dengan kelebihan 2,362 undi.

Beliau memperoleh 4,510 undi manakala pencabarnya Dr Suraya Sudin memperoleh 1,181 undi serta Animah Ferrar dengan 967 undi.

Saingan bagi jawatan Ketua AMK pula, pertandingan dilihat sengit di antara penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Shamsul Iskandar memperoleh 3,981 undi manakala Badrul Hisham 3,273 undi, beza undi adalah sebanyak 708 undi.

Dalam pada itu, cabang Ayer Hitam, Johor terpaksa membatalkan proses pemilihan kerana mendakwa tidak menerima notis mengadakan pemilihan daripada ibu pejabat.

Ketua penaja cabang Zaid Mohd Yusof berkata, seramai 116 ahli PKR di kawasan itu tidak dapat menjalankan proses pemilihan kerana kegagalan pengurusan pentadbiran.

“Bukan kekecohan yang berlaku tetapi adalah pemilihan tidak dapat dijalankan kerana notis mengadakan pemilihan tidak diterima daripada ibu pejabat.

“Bila petugas dari ibu pejabat datang minta adakan pemilihan, kami tidak dapat jalankannya kerana tiada notis tersebut.

“Tiada notis suruh kita adakan pemilihan, jadi kita tidak boleh nak buat pemilihan. Seramai 116 ahli tidak boleh mengundi disebabkan pengurusan pentadbiran yang lemah,” kata beliau ketika dihubungi.

Beliau yang ternyata kecewa dengan perkara itu meminta pihak pengurusan supaya lebih peka dan mengambil berat tentang soal pemilihan parti.

“Pihak pengurusan tidak mengambil berat, mereka tidak tahu masalah yang kita alami.

“Bagi saya ini adalah peristiwa hitam yang berlaku dalam pemilihan PKR,” katanya - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive