31 January 2011

Ahli PAS jangan emosi - Tuan Ibrahim


Untuk mendapat kembali sokongan di Felda, anggota PAS ditegur supaya membuang anggapan bahawa anggota keluarga mereka secara automatik akan kekal bersama parti Islam itu.

Sebaliknya, naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keahlian baru di kalangan anak-anak anggota PAS hendaklah digiatkan.

"Sikap dan anggapan anak ahli akan kekal bersama PAS mesti dihapuskan, kerana sokongan tanpa menjadi ahli menyebabkan mereka tidak merasai wajibnya memperjuangkan Islam,” beliau dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim (kiri) yang juga pesuruhjaya PAS Pahang mengesyorkan supaya pengajian agama di masjid dan markaz sekitar kawasan Felda perlu digerakkan.

“Kita tidak mahu ahli PAS yang emosi tanpa kawalan ilmu, kerana itu program asas bagi parti seperti usrah, tamrin, muqayyam, dan rehlah mesti dihidupkan kembali,” ujarnya lagi.

Semalam, dalam pilihan raya kecil Tenang, calon PAS Normala Sudirman tewas kepada calon BN Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakala Azahar memperolehi 6,699 undi.

Sokongan kuat terhadap Zahar datang daripada tiga gugusan Felda di kawasan itu, yang lazimnya secara tradisi menyokong BN.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim hari ini menyeru seluruh jentera PAS menghilangkan tanggapan bahawa kawasan Felda dan kampung tradisional merupakan kubu BN.

“Untuk menganggap Felda kubu BN saya kira agak ekstrem kerana PAS pernah menang di kawasan Felda bahkan pada tahun 1999, bila mana PAS menang di kawasan majoriti melayu, ia termasuk kawasan Felda,” katanya yang diminta mengulas kegagalan PAS menembusi kawasan Felda di Tenang. -mkini

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive