26 January 2011

Timb. Menteri yang penakut ... mau angkat geng ooo ... hahaha

Isu Felda: Ketua Penerangan Umno tolak debat Anak

LABIS, 26 Jan — Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan hari ini menolak ajakan presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman untuk berdebat mengenai masalah Felda.

Sebaliknya, beliau mengemukakan cabaran kepada Mazlan untuk berdialog secara tertutup bersama beliau dan pegawai Felda dengan harapan dapat menyelesaikan 20 perkara yang dibangkitkan oleh presiden Anak itu.

“Saya bukannya takut berdebat malah saya sudah berdebat sejak di sekolah menengah lagi.

“Berdebat selama sejam mana cukup, saya boleh beri dua hari untuk berdialog dan kita mempunyai semua jawapan kepada 20 perkara tersebut,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kawasan Tenang di sini hari ini.

Beliau berkata berkata Mazlan boleh menerima cabarannya pada bila-bila masa selepas pilihan raya kecil ini.

Anak menyerahkan 20 perkara itu kepada Ahmad Maslan pada November tahun lalu yang mana antara lainnya melibatkan isu peneroka yang disingkir, isu hutang dengan Felda sehingga mencecah RM80,000 dalam masa tujuh tahun, dan masalah pembahagian pusaka oleh generasi kedua Felda.

Persatuan tersebut menghantar surat tawaran kedua kepada Ahmad Maslan semalam untuk berdebat mengenai isu tersebut.

Mengenai perjalanan kempen pilihan raya itu, Ahmad yang juga ketua penerangan Umno berkata parti itu dan Barisan Nasional (BN) menggunakan pendekatan kempen dari rumah ke rumah dan bukannya mengadakan ceramah untuk menarik pengundi.

Beliau berkata sasaran majoriti 5,000 undi yang dianggap sebagai motivasi oleh jentera parti boleh dicapai pada hari pembuangan undi nanti.

Pilihan raya kecil DUN Tenang itu akan diadakan pada 30 Jan ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Ia melibatkan calon BN Mohd Azahar Ibrahim, 39, dan lawannya daripada PAS, Normala Sudirman, 38. — Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive