16 February 2011

Kerajaan Selangor sedia tanggung pelajar Selangor balik ke Mesir

Kerajaan Selangor tiada masalah untuk menyediakan peruntukan kewangan kepada pelajar tajaan Kerajaan Negeri yang berhasrat kembali ke Mesir bagi menyambung pelajaran yang tertangguh kerana pergolakan politik di negara berkenaan.

Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata bagi pelajar bukan tajaan yang berasal dari Selangor pula, Kerajaan Negeri sedia berkerjasama dengan Kerajaan Persekutuan jika diminta membantu menghantar pelajar-pelajar ini kembali ke negara berkenaan.

Ketika mengadakan perjumpaan dengan pelajar-pelajar Mesir di Dewan Jubli Perak, malam tadi, Menteri Besar berkata, berkata kerajaan negeri mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membantu pelajar tajaan kembali ke Mesir.

"Kita mempunyai simpanan berjumlah RM800 juta. Wang ini boleh digunakan jika berlaku kecemasan tetapi perlu dibelanjakan dengan betul dan jujur," katanya di hadapan hampir 3,000 ahli keluarga pelajar.

Kira-kira 1,300 anak Selangor sedang menyambung pelajaran di universiti dan pusat pengajian tinggi di Mesir termasuk kira-kira 600 yang ditaja Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menteri Besar bagaimanapun menjelaskan, kerajaan negeri tidak akan membuat keputusan terburu-buru kerana bimbang berlaku pertindihan tanggung jawab antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Saya yakin kerajaan Persekutuan mampu untuk menghantar semula pelajar-pelajar ke Mesir. Jika kerajaan Persekutuan meminta bantuan kerajaan negeri seperti menanggung perbelanjaan, kita tiada masalah membantu," katanya.

Tan Sri Abdul Khalid berkata, untuk waktu terdekat ini, kerajaan negeri menyediakan pusat latihan dan kem-kem bina semangat kepada pelajar yang terlibat untuk mengikuti kursus bina diri dan pembangunan insan di Kem Ampang Pecah, Morib dan pusat latihan lain.

Katanya, Universiti Selangor juga akan menyediakan kursus jangka pendek kepada pelajar terlibat untuk memantapkan dan meningkatkan kefahaman dalam Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Kewangan dan Komputer.

Beliau berkata, Kolej Islam Selangor (KUIS) dan Yayasan Selangor juga diminta untuk membantu pelajar-pelajar Selangor supaya mereka dapat memanfaatkan masa menunggu sebelum dapat pulang semula Mesir.

Dikeluarkan oleh:
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO' MENTERI BESAR

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive