20 February 2011

Perjuangan PAS tak pernah kalah


Pemuda PAS disaran meneladani semangat pemuda Islam terdahulu yang keberanian mereka dinukilkan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, lapor Harakahdaily.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa memberi contoh keberanian yang ditunjukkan Nabi Allah Yusuf yang sanggup menolak tawaran perempuan cantik dan pangkat, sebaliknya memilih penjara demi menjaga agama Allah.

Kedua, kisah Nabi Ismail yang rela disembelih bapanya demi menunaikan arahan Allah SWT, dan kebijaksanaan Muhammad Al Fateh yang berjaya Konstantinopel ketika berusia 19 tahun.

"Ismail telah meninggalkan kita, Yusof telah meninggalkan kita, Ahmad Al Fateh telah meninggalkan kita.

"Biarpun mungkin jasadnya tidak bersama kita, tetapi semangatnya hari ini dipikul oleh Dewan Pemuda PAS Pusat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup program Himpunan 30K Pemuda PAS yang berlangsung di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut di Alor Setar, semalam.

Menyentuh himpunan kali kedua selepas kali pertama di Kelantan sebelum PRU ke-12 dahulu, beliau berkata, penganjuran himpunan ini tepat dengan tema himpunan 'Masa Untuk Berubah.

Ujarnya, pemuda PAS yang ada hari ini adalah agen pengubah bagi menentukan masa depan negara yang lebih harmoni.

"Pertama, saudaralah penyambung risalah perjuangan islam, yang keduanya untuk menjatuhkan Umno Barisan Nasional," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan pemuda dengan dua pilihan raya kecil (PRK) terdekat, Merlimau dan Kerdau yang akan berlangsung serentak 6 Mac ini.

Katanya, biarpun PAS kalah dalam beberapa PRK sebelum ini, namun Islam mengajar umatnya agar tidak berputus asa kerana kemenangan sebenar adalah pada penilaian Allah.

"PAS mengajar kita bahawa perjuangan kita tak pernah kalah cuma belum ditakdirkan menang.

"Konstentinopel pun boleh, apalah sangat Putrajaya dan ibu kota ibu kota lain," katanya disambut laungan takbir hadirin.

Bagaimanapun ujarnya, himpunan hari ini hanya akan tinggal kenangan semata-mata, jika tidak disusuli dengan gerak kerja oleh pemuda.

Sehubungan itu, beliau mahu pemuda berikrar untuk melipatgandakan usaha demi memenangkan perjuangan Islam di negara ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive