23 February 2011

SAH, UEM dan KWSP ambilalih PLUS

Pemegang saham perakui KWSP, UEM ambil alih PLUS

TERKINI @ February 23, 2011KUALA LUMPUR, 23 Feb — Pemegang saham PLUS Expressways, pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia, meluluskan pengambilalihan oleh Kumpulan UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini.

KWSP dan UEM, subsidiari milik sayap pelaburan negara Khazanah Nasional, memiliki lebih 60 peratus ekuiti dalam pengendali lebuh raya itu.

Pengerusi PLUS Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata 99 peratus daripada 21 peratus pemegang saham yang layak yang menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) mengundi memihak kepada bida tawaran bersama pada pertimbangan pembelian sebanyak RM23 bilion atau RM4.60 sesaham.

“Kami menyasar pembayaran harga tawaran kepada pemegang saham yang layak pada awal September dan menjelang akhir September saham syarikat akan dikeluarkan daripada senarai Bursa Malaysia,” kata beliau pada sidang akhbar selepas EGM syarikat di sini hari ini.

Pada Oktober 2010, PLUS mengumumkan yang syarikat telah menerima tawaran bersama daripada pemegang saham utama, UEM Group dan KWSP, bagi memiliki semua perniagaan, aset dan liabiliti kumpulan.

Kedua-dua pihak akan kemudiannya membentuk Jentera Tujuan Khas (SPV) bagi memudahkan janji niaga pada asas 51:49.

Kemudiannya, semua aset dan liabiliti PLUS Expressways Bhd, akan dipindahkan kepada SPV tersebut.

“Kami yakin yang kami telah mematuhi prosedur yang betul,” kata beliau semasa diminta mengulas tindakan beberapa pemegang saham yang tidak gembira meninggalkan EGM setelah mendakwa hak mereka terhadap cadangan pengambilalihan itu tidak diendahkan lembaga pengarah PLUS.

Sementara itu, Pengarah Bukan Eksekutif bebas kanan PLUS, Tan Sri K. Ravindran, yang mempengerusikan EGM itu berkata: “Kami telah mematuhi semua prosedur perundangan yang perlu dilakukan dan ini juga disahkan oleh majlis perundangan kami.”

Keputusan untuk menjadikan PLUS persendirian dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa mengumumkan Bajet 2011 tahun lepas di mana beliau turut mengumumkan pembekuan kenaikan tol di empat lebuh raya milik PLUS dalam masa lima tahun akan datang.

Langkah kerajaan itu bagi memberi laluan kepada pengurangan kadar tol dan ini mungkin mempengaruhi paras keuntungan yang biasa dinikmati PLUS sebelum ini. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive