22 April 2011

Di sini mencela, di sana merayu

KUALA LUMPUR, 22 April: Itulah kiasan yang menggambarkan karenah kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap kaum Tionghua sekiranya seseorang itu mengikuti berita-berita media tradisional Umno Barisan Nasional kebelakangan ini.
Semenjak menerima tamparan hebat di Sarawak ekoran kehilangan 15 kerusi, 12 di tangan DAP akibat kejatuhan undi popular sebanyak 8 peratus, Umno Barisan Nasional melalui lidahnya, Utusan Malaysia telah melancarkan serangan bertubi-tubi kepada kaum Tionghua dengan label-label seperti ‘tidak mengenang jasa’ dan menuduh kononnya komuniti Cina mahukan kuasa politik muktamad.

           
            (Gambar: Pengarang media Umno mencerca Cina Malaysia selepas ditolak Cina Sarawak)

Utusan turut menyeru kerajaan BN Sarawak tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum Tionghua di dalam kabinetnya.
Bahkan, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed turut serta memainkan sentimen yang sama dengan menuduh DAP telah berjaya memisahkan kaum Tionghua daripada kerajaan ekoran kemenangan bergaya parti itu di Sarawak.
Bukan itu sahaja, dalam satu tindakan yang dilihat merobek koyak slogan 1Malaysia ciptaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan telah menyeru pemiliknya, Umno untuk melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi” untuk menyatukan orang Melayu sebagai reaksi kepada dakwaan bahawa kaum Tionghua sudah bersatu-padu di bawah DAP.
Cadangan Zaini itu ditolak oleh Mahathir hari ini dengan mengatakan bahawa beliau berharap benda itu tidak berlaku kerana itu satu tindakan yang akan membinasakan negara, meskipun NGO kegemarannya, Perkasa sudahpun menawarkan diri untuk mengelapai pergerakan tersebut.
“Saya harap ia tidak akan berlaku. Ia amat tidak baik... orang ramai harus fikir mengenai ini, kita menuju malapetaka jika ia berlaku,” kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.
Dalam pada itu, Najib turut menjauhkan pentadbirannya daripada seruan Zaini – dengan mengatakan bahawa cadangan 1Melayu, 1Bumi cumalah satu pandangan peribadi, namun beliau tidak mengatakan secara jelas samada Umno menerima atau menolak idea tersebut.
“Ia pandangan peribadi penulis. Di sudut kerajaan, kami sudah pun ada satu konsep yang jelas dan kami akan meneruskan usaha-usaha kami,” beliau berkata.
Namun, situasi suram antara kerajaan Umno Barisan Nasional dengan kaum Tionghua dalam negeri kelihatan jauh lebih positif di peringkat antarabangsa, apabila kerajaan persekutuan tengah berusaha keras untuk berinteraksi dengan para pelabur kaum Tionghua daripada negara China untuk melabur di dalam negara.
Delegasi yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini berada di Shanghai sedang merayu syarikat-syarikat China untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.
“Malaysia mengalu-alukan pelaburan China di dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan, khususnya di dalam aktiviti teknologi tinggi, bernilai tambah dan berasaskan pengetahuan.
"Sebagai respons terhadap peningkatan minat pelabur China, Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini sedang berunding secara aktif dengan syarikat China yang berminat di dalam sektor logam, kimia, pengangkutan, elektronik dan elektrik, automotif dan makanan," katanya yang dipetik akhbar Berita Harian.
Tambahnya, sehingga kini terdapat lebih 120 syarikat berkepentingan China beroperasi di Malaysia dengan pelaburan modal lebih AS$250 juta (RM754 juta). HD

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive