22 April 2011

Juri Michigan tentukan nasib pastor bakar al-Quran hari ini

 
Jones tiba di pekarangan mahkamah daerah Dearborn semalam dengan dikawal ketat polis untuk mendengar permohonan menghalangnya adakan protes di luar Pusat Islam Amerika
gambar : Reuters
 
DEARBORN, 22 April — Panel juri mahkamah Dearborn, Michigan akan mempertimbangkan awal pagi ini sama ada pastor kontroversial dari Florida akan dikenakan “bon damai” sebelum dia menganjurkan demonstrasi yang dirancang untuk diadakan di pekarangan masjid terbesar di Amerika Syarikat hari ini.
Hakim Mahkamah Daerah Mark Somers mengeluarkan perintah awal semalam, yang memihak kepada pasukan pendakwa yang memohon dikenakan bon atas alasan kehadiran Pastor Terry Jones memerlukan perlindungan polis yang ketat bagi mengelakkan sebarang keganasan.
Datuk Bandar Dearborn pula menulis surat terbuka kepada Jones menggesanya agar membatalkan protes yang dirancang itu, lapor Reuters dan myFOXDetroit.com.
Polis mendakwa kehadiran Jones akan menyebabkan kos keselamatan dianggarkan RM140,000 (AS$46,000).
Pendakwa Wayne County Kym Worthy juga memohon hakim menghalang Jones dan mengenakan bon sekitar RM300,000 (AS$100,000).
Panel juri enam orang akan mendengar kes itu pagi ini.
Dearborn, salah satu wilayah yang mempunyai komuniti Islam terbesar di Amerika Syarikat, telah menafikan Jones dan sekumpulan penyokongnya permit untuk mengadakan protes di luar Pusat Islam Amerika di sini.
Komuniti aktivis dan tokoh agama Detroit juga mengadakan perhimpunan dan perarakan sejak beberapa hari ini dengan menyifatkan Jones sebagai seorang yang mahu memecahbelahkan masyarakat dengan ucapan-ucapan bersifat membenci.
Bagaimanapun beberapa pengulas berhujah bahawa polis dan pendakwa bertindak keterlaluan dengan cuba menghalang Jones dan melanggar peruntukan kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam perlembagaan.
Jones, 59, pemimpin gereja fundamentalis dari Gainesville, Florida, menjadi perhatian selepas mengumumkan langkah mahu membakar al-Quran tahun lalu.
Jones yang hadir di mahkamah semalam berkata, dia akan cuba untuk mengadakan protes di luar masjid dengan sekumpulan penyokongnya meskipun dihalang oleh mahkamah.
“Kami sudah pun, saya rasa, telah menjelaskan bahawa hasrat kami ialah terus mengadakn protes di hadapan Pusat Islam,” kata Jones kepada pemberita selepas kes berkaitan dengan protes yang dirancang didengar semalam.
Beberapa penunjuk perasaan mengecam Jones di luar mahkmah Dearborn dengan membawa sepanduk tertera mesej “Terry Jones, rasis keluar dari bandar” dan “Hentikan Serangan Rasis Ke atas Muslim”.
Dalam pada itu, beberapa aktivis komuniti dan tokoh agama Kristian mengadakan perhimpunan di luar masjid untuk menunjukkan sokongan kepada komuniti Muslim tempatan.
“Terry Jones tidak mewakili komuniti Kristian. Dia hanya mewakili diri dia dan hanya diri dia. Apa yang kita lihat hari ini ialah Amerika yang sebenar,” kata Imam Hassan Al-Qazwini masjid itu kepada pemberita.
Jones terbang sejauh 1,400 kilometer ataupun dua jam perjalanan menerusi kapal terbang dari Florida untuk mengadakan protes hari ini.
Minggu lalu, dalam afidavit yang dilampirkan bersama permohonan, Ketua Polis Dearborn Ronald Haddad berkata, beliau bimbang Jones akan melakukan tindakan membakar al-Quran.
Aduan mendakwa Jones telah menerima 300 ancaman bunuh ekoran tindakannya membakar al-Quran bulan lalu dan menjadi sasaran ganjaran AS$1.2 juta terhadap kematiannya daripada kumpulan pengganas.
Awal bulan ini, Jones yang disifatkan sebagai pemimpin gereja fundamentalis berkata, akan mengadakan protes lebih besar di masjid paling besar di Amerika Syarikat hari ini.
Rancangan itu dikhuatiri akan memburukkan lagi ketegangan yang dirasakan di beberapa bahagian lain di dunia.
Tindakannya membakar al-Quran pada 20 Mac lalu telah membawa kepada rusuhan dan demonstrasi di Afghanistan termasuk tindakan menceroboh pejabat PBB, telah menyebabkan hampir 20 orang terbunuh.
Jones, seorang bekas pengurus hotel sebelum tukar kerjaya sebagai pastor, yang mendakwa al-Quran mendorong keganasan berkata, dia akan meneruskan satu protes pada 22 April ini — di pekarangan masjid terbesar iaitu di Dearborn.
Sebelum ini, Presiden Barack Obama juga mengecam perbuatan membakar al-Quran tetapi tidak menyebutkan nama Jones.
Jones merancang untuk membakar al-Quran sempena ulang tahun kesembilan peristiwa 11 September tahun lalu tetapi mengubah fikiran.
Pada 20 Mac lalu, Jones mengetuai Hari Antarabangsa Keadilan Al-Quran dan kemudian menyelia pembakaran kitab suci itu yang dihadiri sekitar 50 orang. Program itu berlangsung kira-kira enam jam. - The Malaysian Insider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive