Yong Vui Kong rakyat Malaysia berasal dari Sabah sedang merengkuk di penjara Singapura. Beliau menunggu hukuman bunuh ke atasnya dilaksanakan kerana kesalahan mengedar dadah.
Malaysiakini akan menyiarkan surat-surat terakhir Yong sepanjang 12 minggu ini kepada Yetian, seorang anggota kempen Selamatkan Vui Kong pada saat-saat beliau menghadapi kematian.
Yetian yang dikasihi,
Terima kasih atas surat anda dan terima kasih juga kerana memberi saya peluang dan kekuatan untuk menceritakan kisah saya. Ini surat pertama. Saya ingin berkongsi dengan semua mengenai kehidupan di penjara.
Biar saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Yong Vui Kong. Pada awal 2011, saya meraikan hari jadi ke-23 di penjara. Saya tidak keseorang menyambut hari kelahiran saya. Ramai kawan-kwan di luar yang turut menyambutnya bersama saya.
Kenapa saya di penjarakan? Ini kerana saya membantu mengedar dadah di Singapura. Saya ditangkap ketika berumur 19 tahun. Beberapa tahun sudah berlalu. Saya kini cuma menunggu hukuman gantung dijalankan. Saya sepatutnya sudah lama mati, tetapi ramai orang yang membantu sebab itu sehingga hari ini saya masih hidup. Jika tidak kerana bantuan mereka, saya sudah lama meninggalkan dunia ini.
Ibu saya tidak tahu saya telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Saya beritahunya saya akan pergi tempat yang jauh bagi mencari 'kebenaran' hidup. Dia percaya saya.
Biar saya ceritakan mengenai hidup dalam penjara.
Saya bangun sekitar jam 4 pagi setiap hari. Saya tidak mempunyai jam loceng dan saya tidak memerlukannya. Saya sudah biasa dengan kelaziman ini dan ia tidak pernah berubah sejak kebelakangan ini. Malah warden penjara juga sudah masak dengan tabiat ini. Mereka lihat saya bangkit awal setiap pagi menerusi CCTV di sel penjara saya.
Selepas membersihkan diri dan menggosok gigi, saya akan membaca ayat-ayat suci (Budha) sehingga jam 7 pagi. Selepas itu, saya akan bertafakur secara senyap sehingga jam 9 pagi. Ada yang berpendapat saya cuma ingin menghabiskan masa tetapi dalam hati saya percaya adalah lebih baik menggunakan masa itu melakukan sesuatu daripada membazirkannya.
Saya tak gentar kematian
Pada jam 9 pagi, saya bersarapan. Saya tidak makan makanan yang sama dengan tahanan yang lain. Warden-warden mengetahui perkara ini dan akan hanya menyajikan sayur-sayuran dan buah-buahan kepada saya.
Memakan sayur telah menjadi tabiat saya. Kelebihan makan hanya sayur adalah sesuatu yang perlu anda alami sendiri. Saya boleh bagi tahu ia perkara yang baik tetapi anda mungkin tidak percaya kepada saya. Saya galakkan semua orang untuk mencubanya.
Dulu, apabila saya tahu bahawa saya akan mati tidak lama lagi, saya tidak henti menangis kerana saya takut. Tetapi sami Budha yang melawat saya setiap minggu telah mengajar saya supaya tidak takut dengan kematian itu.
Awal tahun ini, seorang rakan yang dalam tahanan telah 'meninggalkan' kami. Sebelum pergi saya sempat bertafakur dan mendoakannya. Dia pergi dengan aman.
Sebelum giliran saya mati, saya akan gunakan masa dengan bijak bagi memberi nasihat kepada orang ramai dan memberitahu mereka supaya tidak memilih dadah.
Sejak beberapa tahun lalu, hubungan saya dengan abang saya Yun Leong, semakin rapat. Kami sebelum ini sering kali bertengkar mengenai pelbagai perkara.
Tetapi sekarang hubungan kami semakin bertambah baik. Jika bukan kerana bantuannya, anda mungkin tidak dapat membaca surat ini, sekarang. Saya terhutang budi kepadanya. Dia melawat saya setiap Isnin. Kami akan bersembang dan dia akan mendengar cerita saya mengenai ajaran Budha.
Berapa lagi hari Isnin yang dapat dilalui bersama?
Pada masa lalu, kedegilan dan sikap melawan saya menyebabkan abang-abang saya sedih. Sekarang, saya adalah manusia yang berbeza dan mereka rasa lebih gembira. Saya rasa ini adalah paling kurang yang mampu saya lakukan.
Tidak cukup masa untuk belajar segala-galanya!
Sebenarnya saya tidak ada masalah dalam penjara. Warden-warden juga menghormati saya. Apabila abang saya melawat, rantai dan gari akan ditanggalkan dan kami akan tunduk kepada satu sama lain.
Pada masa lapang saya mempelajari ayat-ayat suci (Budha). Saya bimbang masa tidak mencukupi bagi mempelajari segala-galanya. Saya rasa masa dalam sehari juga tidak cukup untuk saya belajar. Ramai yang mungkin beranggapan adalah menyiksakan untuk saya menghabiskan masa di penjara tetapi saya gembira kerana boleh menggunakan masa itu untuk belajar.
Saya suka bertafakur. Tetapi kerana undang-undang penjara yang ketat, saya tidak dibenar menggunakan manik-manik tafakur yang biasa. Ini kerana mereka khuatir saya akan menajamkan manik krystal berkenaan dan menggunakannya bagi membunuh diri sendiri. Sami saya menggunakan tepung bagi membuat manik-manik kecil dan memberikannya kepada saya.. Saya gunakannya ketika bertafakur.
Bunuh diri? Saya tidak pernah terfikir mengenainya. Hidup mesti dinikmati dan bukannya untuk disia-siakan.
Yetian, terima kasih. Saya berhenti di sini hari ini. Amitaba.
YONG VUI KONG, dijatuhkan hukuman mati pada November 2009 kerana mengedar dadah. Beliau hanya berusia 19 tahun. Pada 4 Apri lalu, beliau gagal dalam rayuan terakhirnya bagi mengelakkan hukuman mati mandatori.
Dia akan digantung dalam tempoh tiga bulan kecuali diberikan pengampunan oleh presiden Singapura
- malaysiakini
No comments:
Post a Comment