KUALA LUMPUR: Polis diminta memberi penjelasan dan tujuan sebenar mereka mendapatkan keterangan Presiden Tenaganita, Irene Fernandez, berhubung kes rogol pembantu rumah yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet tidak lama dahulu.
Ia berikutan tindakan pihak berkuasa itu untuk menyiasat Irene kerana mengulang siar kenyataan sebuah NGO pekerja Indonesia, Migrain care yang pertama sekali menimbulkan dakwaan itu.
Peguam, Latheefa Koya berkata, dakwaan polis mengatakan Tenaganita membuat tohmahan adalah tidak benar kerana polis seharusnya mengikut prosedur siasatan dengan memanggil mangsa dan pelaku jenayah tersebut.
“Mangsa dan individu yang didakwa melakukan jenayah tersebut tidak dipanggil atau disiasat. Justeru, mengatakan Tenaganita melakukan tohmah adalah salah.
“Macam mana mereka kata perkara itu tohmah? Bagaimana kalau mangsa tidak bercakap atau diugut? Apakah jika mangsa berdiam diri bermakna kes telah selesai?
“Persoalannya, atas sebab apa Irene disiasat? Adakah mereka mahu siasat tentang kenyataan Migrant Care atau siasat tentang kes rogol itu?,” soal Latheefa yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN.
Dalam surat yang dihantar pada 12 Mei kepada Irene, beliau dimaklumkan bahawa Peguam Negara telah mengarahkan polis bagi mendapatkan keterangannya berhubungisu itu.
Bagaimana pun Irene berkata, pihak polis tidak hadir ke pejabat Tenaganita hari ini untuk bertemunya pada jam 3 petang seperti yang dijadualkan, selepas menunggu selama kira-kira sejam.
“Kami tidak jelas dengan motif siasatan ini. Sekiranya apa yang didakwa sebagai tohmahan oleh kami, adalah lebih baik sekiranya polis mendapatkan maklumat dari Migrant Care yang merupakan pemilik asal kenyataan itu,” kata Irene.
“Tambahan pula, dakwaan bahawa Tenaganita menyiar semula pada 26 Disember 2010 adalah tidak benar. Pada tarikh itu, semua kaki tangan Tenaganita bercuti, sehari selepas sambutan Krismas tahun lalu,” kata Irene kepada Keadilandaily.com
Sementara itu, Keadilandaily cuba menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Ampang, Norfirdawati Othman bagi mendapatkan respon berhubung pembatalan siasatan, hari ini.
Norhayati yang merupakan pegawai penyiasat kes memberitahu, pihaknya tidak dimaklumkan oleh pihak Tenaganita berkenaan masa pertemuan.
“Dia tak ‘fix’ (tetapkan) waktu,” jawab Norfirdawati sambil menambah bahawa dia tidak dapat memaklumkan tarikh baru bagi sesi pertemuan berikutnya.
“Ini kes ‘high profile‘. Saya tak boleh maklumkan sebab kena maklumkan pada ‘OC’ dahulu. (Ketua Daerah Polis). Kita kena ikut prosedur. Saya tak boleh bagi apa-apa komen,” kata Norfirdawati.
Kes ini menjadi isu hangat di media Indonesia, termasuk desakan pertubuhan hak asasi dan buruh di negara itu yang menuntut supaya pelaku tersebut- yangdikaitkan dengan seorang menteri kabinet di Malaysia, disiasat dan dihukum.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=13712
No comments:
Post a Comment