Mubahalah adalah satu kaedah mengakhiri perselisihan dengan masing-masing pihak berdoa kepada Allah agar menjatuhkan laknatNya kepada pihak yang berdusta.
Sumpah laknat yang hangat diperkatakan dewasa ini bukan mubahalah yang didakwa oleh sesetengah pihak kerana mubahalah mengkhususkan kepada perkara aqidah yang melibatkan kepercayaan dan kebenaran dalam agama.
Menurut tafsir Ibnu Katsier, cetakan Kuala Lumpur 1988, Mubahalah adalah suatu cara untuk mengakhiri perselisihan dan pertentangan dengan masing-masing pihak di antara orang-orang yang berbeza pendapat berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar Allah menjatuhkan laknatNya kepada pihak yang berdusta.
Seterusnya dalam tafsir Ar Rahman, terbitan Jabatan Perdana Menteri cetakan 1980, peristiwa Mubahalah disemadikan dalam Al Quran dalam ayat 61, Surah Ali Imran, dengan firman Allah bermaksud:
“Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka:
“Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu.
“Kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.”
Ayat ini dibaca bersama dengan dua ayat sebelumnya iaitu ayat 59 dan 60, firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: Jadilah engkau! maka jadilah ia.
“Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.”
Menurut riwayat Alhakim, bahawa yang dimaksud dengan kata “anak-anak kami” ialah Saidina Hassan bin Ali dan Saidina Hussein bin Ali, dengan kata “perempuan-perempuan kami” ialah Fatimah binti Muhammad dan dengan kata “diri-diri kami”ialah Rasulullah sendiri dan Saidina Ali bin Abi Talib.
Turunnya ayat “mubahalah” ialah kerana datangnya utusan orang-orang Nasrani Najran yang mengajak diadakan perdebatan tentang Nabi Isa yang dianggap sebagai anak Tuhan.
Nasrani Najran
Sejarahwan Islam tersohor, Ibnu Ishak dalam buku sejarahnya menyebut, telah datang menghadap Rasulullah saw, utusan orang-orang Nasrani Najran, terdiri daripada 60 penunggang kuda, di antara mereka, terdapat 14 orang bangsawan.
Mereka masuk ke Madinah dan masuk ke dalam masjid Rasulullah ketika baginda bersembahyang Asar. Mereka mengenakan pakaian mewah sehingga berkata orang-orang yang melihat mereka, “tidak pernah kami melihat utusan sehebat mereka.”
Mereka dibiarkan melakukan sembahyang menurut agama mereka dengan menghadap ke arah timur dan kemudian ketiga-tiga pemimpin mereka – Abu Haritsah bin Alqamah, Abdul Masih dan Al Aiham – bersoal jawab dengan Rasulullah.
Pendirian mereka tentang agama sesuai dengan pendirian raja Rom sekali pun di antara mereka sendiri masih terdapat perbezaan dan perselisihan.
Mereka menegaskan kepercayaan mereka tentang Nabi Isa, bahawa baginda adalah Tuhan, putera Allah dan satu dari tiga senyawa (konsep triniti).
Sebagai dalil dan alasan akan kebenaran kepercayaan itu, mereka kemukakan bahawa Nabi Isa dapat menghidupkan orang mati, dapat menyembuhkan orang sakit, buta dan sopak, memberitahu tentang hal-hal yang ghaib dan membentuk dari tanah liat seekor burung lalu menjadi burung hidup yang bernyawa.
Pada hal Nabi Isa melakukan semua itu dengan izin Allah yang telah memberinya sebagai mukjizat dan tanda kekuasaanNya di atas hamba-hambanya.
Oleh sebab mereka masih berdegil dan tetap dengan pendirian itu, maka Allah memerintahkan Rasulullah mengajak mereka “bermubahalah” di padang yang terbuka.
Tatkala Rasulullah datang ke arena mubahalah dengan disertai Ali, Fatimah, Hasan dan Husain, orang-orang Nasrani terperanjat.
Para pendita Nasrani berharap Rasulullah membawa sebahagian besar sahabatnya untuk bermubahalah dan bukan sekelompok kecil dari ahlubaitnya (keluarganya).
Mereka mengharapkan Rasulullah memanggil seluruh umat Islam seperti mana keluar untuk berjihad, apalagi orang-orang Nasrani telah keluar seluruhnya untuk melakukan mubahalah.
Doa dan munajat
Tetapi medan tersebut bukanlah medan peperangan dan jihad. Ia adalah medan doa dan munajat untuk menegakkan kebenaran dan membuka tabir kebatilan. Dan tidak ada yang dapat membuka tabir kebatilan kecuali orang-orang yang paling baik dan paling mulia di muka bumi.
Menurut pelbagai riwayat, tatkala Rasulullah menyeru para pendita Nasrani untuk masuk Islam, mereka menolak ajaran baginda dan enggan berbaiah kepada baginda tetapi sebaliknya menuduh baginda dengan kebohongan.
Tatkala dekat dengan saat untuk bermubahalah, para pendita Nasrani dan sekelompok besar para pengikutnya berkumpul, mereka menunggu kedatangan Rasulullah.
Mereka terkejut melihat saat Rasulullah datang dengan langkah yang mantap dengan disertai ahlulbaitnya. Satu tangan baginda menuntun tangan Saidina Husain manakala satu tangan lagi menuntun Saidina Hasan. Fatimah berjalan di belakang baginda dengan dipenuhi cahaya dan Saidina Ali mengikuti mereka dengan memancarkan kebesaran.
Ketika as-Sayyid dan al-’Aqib (dua pembesar Najran) datang kepada Rasulullah sudah kelihatan pada diri mereka keraguan dan panik. Mereka bertanya, “wahai Abal Qasim (Rasulullah), dengan disertai siapa engkau akan bermubahalah dengan kami?
Rasulullah menjawab, “saya akan bermubahalah dengan disertai sebaik-baiknya penduduk bumi dan semulia-mulianya makhluk di sisi Allah.”
Kemudian, Rasulullah menunjuk Ali, Fatimah Zahra, Hasan dan Husain. Mereka bertanya dengan penuh kehairanan, “mengapa engkau tidak bermubahalah dengan disertai orang-orang besar dan mulia yang beriman dan mengikutimu?”
Rasulullah berkata, “tentu, aku akan bermubahalah denganmu dengan disertai mereka, sebaik-baiknya penduduk bumi dan seutama-utamanya makhluk.”
Hati mereka bergoncang dipenuhi rasa takut dan kekhuatiran. Akhirnya, mereka kembali menemui pendita mereka untuk meminta petunjuk.
Mereka berkata kepada pemimpin mereka, “wahai Abu Haritsah, bagaimana pendapatmu dalam perkara ini? Pendita mereka menjawab, “aku melihat wajah-wajah yang jika salah seorang dari mereka memohon kepada Allah supaya gunung dihilangkan dari tempatnya maka Allah akan menghilangkan gunung itu.
“Tidakkah engkau melihat Muhammad sedang mengangkat kedua tangannya sambil menunggu terkabulnya doanya. Demi al Masih, jika dia menggerakkan mulutnya dengan satu kata maka kita tidak dapat kembali kepada keluarga dan harta kita.”
Akhirnya mereka memutuskan untuk segera pulang dan meninggalkan arena mubahalah. Mereka rela walaupun harus menanggung kehinaan dan membayar jizyah (denda).
Peristiwa mubahalah ini merupakan detik terpenting dalam sejarah Islam. Pengakuan oleh Nasrani Najran ini membuktikan bahawa mereka mengetahui kenabian dan kerasulan Muhammad kerana kalau tidak kenapa mereka berundur dari medan mubahalah.
Mereka juga menerima syarat yang diajukan oleh Rasulullah dengan membayar jizyah. Kejadian besar ini membuktikan kebenaran kenabian Rasulullah yang mulia dan kebenaran agama Islam yang dibawanya.
Untuk lebih terperinci sila rujuk, kita-kitab muktabar, antaranya:
1. Sahih Bukhari, kitab al-Fadha’il
2. Sahih Tirmidzi, juz 4
3. Mustadrak ala Shahihaian, karya al Hakim
4. Mustadrak, karya adz-Dzahabi
5. Manaqib Ali bin Abi Thalib, karya Ibnu Maghazili asy-Shafie
6. Musnad, karya Ahmad bin Hambal
7. Tarikh Dimasy, karya Ibnu Asakir
8. Tafsir ath-Thabari, juz 3
9. Tafsir al-Kasysyaf, karya az-Zamakhsyari, juz 1
10. Tafsir al Qurthubi, juz 4
11. Asbab an-Nuzul, karya al-Wahidi
12. Ahkam al-Quran, Ibnu Arabi, juz 1
13, Tafsir Fakhrur Razi, juz 2
14. al-Durr al-Mansor, karya as-Suyuthi
No comments:
Post a Comment