AKHIR-AKHIR ini sumpah menjadi topik pertelagahan kerana terlalu banyak diperkatakan mengenai sumpah termasuk statusnya, sah dan tidak. Timbul kenyataan, sumpah itu tidak sah atau sumpah itu sah kerana dibuat dengan kerelaan hati.
Asal sumpah dalam syariat Islam untuk dua keadaan. Pertama, kebiasaan bagi menguatkan hujah kerana makna sumpah itu sendiri ialah ‘al-quyyah’ iaitu penegasan supaya orang percaya dan sebab itu sumpah dibuat menggunakan nama Allah. Sumpah kedua dari sudut perundangan dilakukan dalam mahkamah sama ada oleh saksi, orang yang menuntut (plaintif) atau pihak yang kena tuntut (defendan). Kini ada dua sumpah popular iaitu sumpah mubahalah dan sumpah mula’anah. Penolong Profesor Jabatan Undang-Undang Islam Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zulfakar Ramlee, berkata sumpah muba-halah lebih kepada ingin membuktikan kebenaran tanpa menggunakan prosedur biasa iaitu perbicaraan di mahkamah.







