12 May 2011

Sumpah

Oleh Hasliza Hassan

AKHIR-AKHIR ini sumpah menjadi topik pertelagahan kerana terlalu banyak diperkatakan mengenai sumpah termasuk statusnya, sah dan tidak. Timbul kenyataan, sumpah itu tidak sah atau sumpah itu sah kerana dibuat dengan kerelaan hati.

Asal sumpah dalam syariat Islam untuk dua keadaan. Pertama, kebiasaan bagi menguatkan hujah kerana makna sumpah itu sendiri ialah ‘al-quyyah’ iaitu penegasan supaya orang percaya dan sebab itu sumpah dibuat menggunakan nama Allah. Sumpah kedua dari sudut perundangan dilakukan dalam mahkamah sama ada oleh saksi, orang yang menuntut (plaintif) atau pihak yang kena tuntut (defendan). Kini ada dua sumpah popular iaitu sumpah mubahalah dan sumpah mula’anah. Penolong Profesor Jabatan Undang-Undang Islam Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zulfakar Ramlee, berkata sumpah muba-halah lebih kepada ingin membuktikan kebenaran tanpa menggunakan prosedur biasa iaitu perbicaraan di mahkamah.

Justeru, katanya dalam konteks membabitkan tuduhan jenayah kecuali dalam konteks ‘li’an, sumpah tidak sesuai kerana setiap dakwaan perlu ada keterangan dan mahkamah akan menentukan sesuatu dakwaan itu selepas melihat kepada keterangan (bukti).

“Maknanya, jika ada tuduhan atau dakwaan, kena ikut saluran yang betul, pergi mahkamah. Islam ada undang-undang, setiap pertuduhan perlu disokong bukti. Setiap dakwaan perlu ada keterangan dan mahkamah akan tentukan berdasarkan melihat kepada keterangan,” katanya.

Oleh itu, katanya, dari sudut perundangan, sumpah tidak menyelesaikan kes jenayah kerana hakim dalam membuat keputusan akan melihat atau bersandarkan kepada keterangan (bukti) tetapi bagi kes selain daripada jenayah, hakim boleh meminta pihak dalam pertikaian supaya bersumpah.
Zulfakar berkata, dalam konteks sekarang, seolah-olah sumpah yang diambil walaupun dibuat dalam masjid sudah bercampur baur antara sumpah biasa, sumpah mubahalah dan sumpah mula’anah.

Lebih malang lagi, sumpah ini berkaitan kesalahan jenayah dan dikaitkan pula dengan pihak ketiga. Ini menimbulkan kekeliruan bukan saja kalangan orang biasa malah ustaz, sedangkan dalil mengenai kategori sumpah ini sudah jelas.

Sumpah mubahalah seperti disebut ayat 61, surah al-Imran, memerlukan kedua-dua pihak yang berbalah untuk sama-sama bersumpah iaitu yang mana di akhir sumpah kedua-duanya mengaku jika mereka tidak benar, azab Allah akan menimpa mereka. Sumpah ini tiada kaitan dengan dakwaan jenayah.

Sementara sumpah mula’anah yang diperuntukkan dalam surah al-Nur, ayat 6 hingga 9 pula hanya untuk kes suami menuduh isteri berzina atau suami menafikan kandungan isteri tetapi tidak mampu mengemukakan empat saksi. Suami bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali dan memohon laknat Allah jika dia berdusta.

“Dalam kes li’an ini, isteri wajib ambil sumpah nafi. Menurut Imam Syafie, jika isteri tidak bersumpah, hukumnya direjam. Keengganan isteri bersumpah menjadi petanda kuat (qarinah),” katanya.

Katanya, dalam kes jenayah, pendakwaan boleh diteruskan walaupun pihak tertuduh bersumpah atau tidak kerana hukuman bergantung kepada keterangan.

Beliau berkata, masyarakat perlu menukar budaya suka tertarik kepada perkara tiada penjelasan dan fakta yang boleh menimbulkan suasana huru-hara, sebaliknya dididik supaya menyelesaikan masalah menggunakan saluran betul.

Mereka juga sepatutnya sedar sumpah bukan perkara main-main kerana perbuatan bersumpah itu dikira suci apabila sumpah bersaksikan Allah dengan menyebut nama atau sifat Allah. Sesiapa yang main-main dengan sumpah, hukumannya berat.

“Apa lagi jika disebabkan sumpah itu dia mendapat hak orang lain secara salah kerana ada hadis yang menegaskan Allah haramkan syurga kepadanya dan diwajibkan dia neraka. Jika orang tahu kesan sumpah, dia akan faham.

“Masyarakat perlu dididik bahawa sumpah dengan menggunakan nama Allah tidak boleh main-main kerana kita menjemput Allah menjadi saksi,” katanya.

Pihak yang menuduh atau saksi yang ingin membuat laporan mereka tidak boleh dihalang jika tujuannya menegak perkara makruf dan mengekang kemungkaran tetapi syaratnya dilakukan mengikut peraturan betul.

FAKTA: Sumpah

•Dari sudut perundangan, sumpah tidak menyelesaikan kes jenayah kerana hakim dalam membuat keputusan akan melihat atau bersandarkan kepada keterangan (bukti) tetapi bagi kes selain daripada jenayah, hakim boleh meminta pihak dalam pertikaian supaya bersumpah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive