12 May 2011

Najib digesa tukar Ketua Editor Utusan

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menukar Ketua Pengarang Utusan Malaysia dan wartawan yang terlibat dalam laporan berhubung isu konspirasi menubuhkan negara Kristian. Katanya, Najib selaku Presiden Umno perlu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Utusan tidak menikmati kekebalan undang-undang dan parti itu sendiri tidak bersetuju dengan laporan fitnah berkenaan.

Selain itu, katanya, Utusan juga digesa supaya memohon maaf dan menarik balik berita tersebut.

Justeru itu katanya, DAP turut mencabar menteri-menteri daripada MCA, Gerakan mahupun SUPP untuk membawa perkara itu ke Kabinet dan menuntut tindakan tegas terhadap Utusan.

“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, ini menunjukkan bahawa MCA, Gerakan dan SUPP adalah peserta dalam sandiwara UMNO yang mengamalkan politik dua muka dan bersifat munafik,” tegas Lim.

Menurut Lim, sebelum ini Utusan kerap menyiarkan fitnah jahat dan berbahaya kerana akhbar tersebut dimiliki dan menerima arahan Umno.

Ia diperkukuhkan lagi dengan pendedahan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari bahawa mesyuarat Biro Politik Umno bersidang setiap hari Isnin malam, menetapkan agenda mingguan akhbar itu.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, meskipun masyarakat bandar dapat melihat kebenaran melalui propaganda Utusan, namun terdapat di kalangan pembaca luar bandar yang masih terpengaruh dengan penipuan yang disiarkan.

“Hatta kegagalan Najib untuk mengambil tindakan ke atas Utusan mengesahkan lagi pendedahan yang dibuat oleh Hata bahawa fitnah berhubung konspirasi menubuhkan Negara Kristian dan melantik Perdana Menteri beragama Kristian merupakan usaha UMNO untuk terus menarik sokongan penduduk luar Bandar,” katanya.

Utusan pada Sabtu lalu cuba ‘menggemparkan pemikiran rakyat’ apabila menyiarkan berita bertajuk ‘Kristian Agama Rasmi?” di muka depannya dengan mendakwa usaha konspirasi pimpinan DAP dan paderi kristian untuk mewujudkan negara Kristian serta melantik perdana menteri di kalangan penganut agama itu.

Laporan yang berasaskan kepada tulisan dua blog pro Umno itu menerima kecaman dari pelbagai pihak.

Semalam, bekas wartawan kanan Utusan dan Presiden NUJ, Hata Wahari yang dipecat kerana mengkritik majikannya itu, berpendapat Ketua Pengarang Utusan seharusnya ditangkap di bawah ISA kerana menyiarkan artikel yang mengapikan sentimen perkauman.

Beliau turut mendedahkan peranan perdana menteri, Datuk Seri Najib selaku presiden Umno dalam menetapkan agenda mingguan akhbar itu, selain Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga orang Naib Presiden Ahmad Zahid Hamidi, Hishamudin Hussein dan Shafie Apdal serta Setiausaha Agung Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin gereja menyifatkan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak tengah hari tadi sebagai perbincangan berfaedah di mana perdana menteri juga dimaklumkan tentang perasaan tidak senang mereka ekoran laporan Utusan Malaysia kononnya wujud konspirasi mahu menjadikan Malaysia negara Kristian.

Biskop Ng Moon Hing, yang mewakili Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) memberitahu pemberita bahawa mereka ada mengadu kepada perdana menteri mengenai laporan tidak berasas, yang mendakwa Kristian mahu melantik perdana menteri daripada kalangan Kristian dan menggantikan Islam sebagai agama rasmi.

“Kami memberitahu bahawa kami terganggu dan tidak gembira… perkataan-perkataan tidak bertanggungjawab, bersifat hasutan yang berpotensi untuk menyebabkan rusuhan, tidak seharusnya diterbitkan dalam media arus perdana atau sebarang media,” katanya  - KL2Day

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive