05 May 2011

Simpati Pakatan Perak mula pudar?

Sentimen simpati Pakatan Perak pasca-Februari ’09 mula pudar
Oleh Shannon TeohMay 05, 2011


KUALA LUMPUR, 5 Mei — Sentimen marah di kalangan rakyat berhubung tindakan Barisan Nasional (BN), yang didakwa merampas kerajaan negeri Perak awal 2009, kelihatan mula pudar dengan kajian terbaru menunjukkan bilangan kerusi yang boleh dimenangi Pakatan Rakyat (PR) merosot.

Bilangan kerusi boleh dikuasai PR jika pilihan raya diadakan sekarang hanya sekitar 33 berbanding 40 kerusi yang diramalkan sejurus selepas krisis politik Februari 2009.

Kajian pendapat umum yand dikendalikan PR sejurus selepas peristiwa Februari 2009 menunjukkan perikatan tiga parti itu boleh menyapu sehingga 40 kerusi ataupun majoriti dua pertiga daripada 59 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

BN memiliki 28 kerusi sekarang dan mempunyai sokongan empat Adun yang mesra perikatan itu selepas keluar komponen PR.

Bagaimanapun kajian yang sama, yang diadakan PR Perak awal tahun ini menunjukkan ia hanya boleh memenangi 33 kerusi jika pilihan raya diadakan sekarang.

“Sentimen sangat tinggi pada 2009. Sejak itu orang ramai sudah mula bertenang,” kata Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham kepada The Malaysian Insider.

PR memenangi 31 kerusi pada pilihan raya umum 2008. Bagaimanapun tiga Adun masing-masing dua dari PKR dan seorang wakil rakyat DAP keluar parti menyebabkan kerajaan negeri pimpinan PR tumbang.

Pada Jun lalu, Adun Malim Nawar Keshvinder Singh, juga meninggalkan DAP, untuk menjadi wakil rakyat mesra BN.

Justeru, BN mempunyai kekuatan 32 anggota berbanding 27 wakil PR.

Ngeh juga berkata, maklum balas peribadi daripada pengundi-pengundi Perak menunjukkan mereka kurang berminat dengan isu pengambilalihan kuasa dan mahukan kedua-dua perikatan berkhidmat kepada rakyat.

“Selepas kami mengadakan mogok lapar pada Mei dan mencabar kesahihan kerajaan negeri BN pada beberapa sidang (Dewan Undangan Negeri), orang ramai mula memberitahu kami bahawa mereka menerima mesej dan sudah tiba masa bagi kami untuk bergerak ke depan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Beruas.

Dengan momentum kelihatan beralih kepada BN, Ngeh berkata, PR kemungkinan cuba menimbulkan balik isu ini ketika pilihan raya umum akan datang.

Kata beliau, pihaknya juga telah bersetuju untuk mengekakan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar jika PR memperoleh kerusi terbanyak.

“Satu persoalan yang pengundi-pengundi Perak mesti putuskan ialah MB yang mereka inginkan?” katanya lagi - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive