SHAH ALAM: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara 30 tahun dan sebatan 10 kali, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan merogol dan meliwat yang dilakukannya sebelum dia dihukum.
G. Thiyagaran, 35, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Taiping, sejak 24 September 2010 hadir di mahkamah dengan memakai pakaian seragam penjara warna hijau dan dikawal oleh empat kakitangan penjara.
Lelaki bertubuh sederhana itu sedang menjalani hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak atas pelbagai kesalahan seperti merogol, mencabul dan mengurung dan mencuri motosikal.
Dia didakwa merogol dan meliwat remaja berusia 19 tahun selepas memperdayakan mangsa yang sedang menunggu bas untuk ke sekolah untuk mengikutnya selepas memperdayakan mangsa bahawa dia mempunyai pistol.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 7 pagi, 8 Oktober 2009 di kawasan perkuburan cina Kerling, Hulu Selangor, dekat sini.
Bagi kesalahan merogol, dia yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, dekat sini didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan manakala pendakwaan bagi kesalahan meliwat dibuat mengikut Seksyen 377C kanun sama.
Setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Thiyagaran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Mohammed Mokhzani menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.
No comments:
Post a Comment