10 June 2011

Filem Kongsi dan KL Gangster - Yusof Haslam David Teo sangkal dakwaan Perkida

PETALING JAYA: Penerbit filem KL Gangster dan Kongsi, Datuk Yusof Haslam dan David Teo, menjelaskan filem-filem terbitan syarikat produksi mereka itu tiada kaitan dengan sebarang aktiviti mana-mana pertubuhan bukan kerajaan seperti yang didakwa oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida).

Penerbit Skop Productions, Yusof menegaskan, dia tidak mahu melayan dakwaan buruk terhadap filem arahan anaknya, Syamsul Yusof itu kerana ia hanyalah perkara remeh yang boleh merunsingkan fikiran.

"Kalau hendak fikirkan pelbagai komen orang terhadap filem atau drama terbitan saya, memanglah orang akan cakap macam-macam.

"Perkara ini bukan satu isu yang perlu diperbesar-besarkan. Filem KL Gangster hanyalah sebuah cerita rekaan dan tiada kena-mengena dengan mana-mana orang perseorangan atau pertubuhan.

"Kita sudah mendapat penapisan dan kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) dan Kementerian Dalam Negeri sebelum ia ditayangkan. Jadi saya tidak mahu layan perkara seperti ini," katanya yang dihubungi mStar Online, Khamis.

Penerbit filem Kongsi, David Teo

Sementara itu, penerbit Metrowealth Movies Production yang menerbitkan filem Kongsi, David Teo berkata, filem arahan Farid Kamil itu dihasilkan atas tujuan hiburan dan bukan untuk mempersendakan mana-mana pihak.

"Filem Kongsi hanyalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak pun. Kita sama sekali tiada niat untuk mempersendakan mana-mana individu menerusi tema yang di paparan.

"Hakikatnya, isu gengsterisme berlaku di mana-mana negara atau bangsa pun dan bukan merujuk kepada pertubuhan tertentu.

"Ia tidak sepatutnya menjadi isu tetapi saya tidak boleh kata apa kerana itu hak mereka (Pekida). Cuma, kalau isu ini timbul lebih awal, pasti ia akan lebih membantu publisiti Kongsi," katanya.

Pekida berhasrat untuk menyaman penerbit dan pengarah dua filem berkenaan kerana mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan tersebut melalui filem mereka.

Pertubuhan itu akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), Datuk Husin Shafie, Jumaat (hari ini) bagi mendapatkan penjelasan sebenar dan menuntut agar filem-filem yang sedang ditayangkan itu ditarik balik serta merta selain dilakukan penapisan semula. = mStar

2 comments:

arai said...

Apa nak jadi dengan pekida ni? sampai ketahap merapu dengan dakwaannya terhadap filem KL GANGSTAR. Janganlah bidang hiburan pula dijadikan sandaran dalam mencanang misi perkida. Filem cereka ni samalah pengertianya dengan sebuah komik berunsur cerita-cerita rekaan sebagai hiburan sahaja. Tidak ada bentuk sindiran berkaitan organisasi perkida. Barangkali sekadar rasa tersinggung dengan satu atau dua sentuhan seakan-akan menyamai perkida? Jauh sekali tidak kerana ianya tetap landasan hiburan untuk hiburan. Perkida tersasul dengan tuduhan melulu dan agak buang masa dengan tafsiran karut dan terkeluar dari objektif penubuhan perkida. Yusuf Haslam tidak perlu gusar dengan isu remeh yang tidak pernah ujud dalam skop cerita filem yang langsung tidak ada kaitan dengan perkida ini!

Anonymous said...

hasil tindakan ini memungkinkan pekida membuka pekung di dada

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive