22 June 2011

Negara berkebajikan ialah pelaksanaan politik Islam

Oleh ZAKARIA ISMAIL

Ramai yang suka menjadi pemerhati yang tidak PAS dan tidak Umno, tidak Barisan Nasional dan tidak Pakatan Rakyat. Tengah-tengah kata mereka.

Kemudian mereka mengeluarkan pendapat yang pada anggapannya sangat bernas, PAS tak boleh begitu, Umno mesti begini, PR sepatutnya begini dan BN sepatutnya begitu.

Tetapi dalam kebanyakan keadaan, mereka sahaja yang selamat daripada kritikan. Menjayakan sesuatu agenda dan memperjuangkannya dalam wadah yang kita pilih seribu kali lebih sukar daripada mengkritik daripada jauh.

Tidak pernah mudah kepada PAS untuk memperjuangkan agenda perlaksanaan syariat Islam yang tulus, adil dan sesuai dilaksanakan pada setiap masa dan tempat dalam kerangka sebuah negara Islam yang dicita-citakan.

Ada orang yang menghentam dasarnya. Ada yang menyindir kedaifan cawangannya. Ada yang memperlekehkan segala cadangannya untuk kemajuan dan kesejahteraan negara.

Ada yang mencabar perdebatan falsafah dan hala tujunya seperti perbahasan akademik di pusat pengajian tinggi. Ada yang menyerangnya kerana segelintir tindak tanduk ahlinya. Bahkan ada yang mempertikaikan keislamannya.

Walaupun penulis artikel Abu Imad al-Mahshari menggambarkan beliau begitu telti, adil dan berhati-hati membuat ulasan, tetapi artikel beliau terlalu jelas dangkal dan cepat ingin sampai kepada kesimpulan.

Beliau hanya menggambarkan PAS parti yang berjuang semberono, syok berjuang tanpa tahu ke mana hala tuju yang dicita-citakan.

Contoh kedangkalan boleh dilihat daripada ulasan beliau tentang Islam Hadhari dan cadangan masyarakat Islam Hadhari. Walhal buku Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membahaskan penyelewengan Islam Hadhari daripada aspek terma, perlaksanaan yang dimaksudkan daripada konsep, Islam Hadhari yang tidak mahu tunduk kepada nas syarak, Islam Hadhari yang mirip kepada Islam liberal dan merbahaya kepada akidah dan boleh menyebabkan kekeliruan di dalam masyarakat Muslim.

Contoh ingin cepat sampai kepada kesimpulan, negara kebajikan PAS dianggapnya sebagai plagiat daripada welfare state mengikut kaca mata Eropah. Walhal PAS berjuang untuk penubuhan negara Islam dan salah satu daripada ciri negara Islam ialah negara berkebajikan.

Untuk melaksanakan keseluruhan ciri negara Islam sekaligus, adalah amat sukar. Jadi satu ciri dipilih untuk diserlahkan untuk mendekatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap konsep negara Islam secara praktikal.

PAS menimbulkan tema negara berkebajikan kerana mengambil kira tindakan kerajaan Malaysia yang membelakangkan kebajikan rakyat dengan menaikkan cukai, menghapuskan subsidi, mendahulukan kebajikan kroni, menaikkan tarif keperluan asas rakyat pada tahap yang amat membebankan rakyat.

Kerajaan BN secara semberono telah membebankan rakyat untuk menanggung pelbagai perbelanjaan kerajaan an dengan meningkatkan beban cukai dan tarif dalam perbelanjaan isi rumah.

Khazanah kekayaan negara melalui hasil minyak, cukai, keuntungan GLC dan lain-lain yang tidak diurus dengan baik menjadikan Malaysia tidak berupaya meningkatan keupayaan ekonominya, walaupun kerajaan BN mendakwa mereka begitu arif dan pakar dalam pengurusan ekonomi.

Dakwaan mereka hanya dibuktikan dengan inflasi sebenar yang semakin perit dirasai oleh setiap peringkat rakyat jelata.

Negara berkebajikan yang diketengahkan oleh PAS ialah kerajaan yang bebas rasuah, kreatif menjana ekonomi, mengagihkan harta negara secara adil dan memberikan keutamaan kepada faedah yang akan diperolehi oleh rakyat menurut neraca Islam.

Bermakna perlaksanaan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang membebankan rakyat akan dikaji semula dan digantikan dengan dasar yang lebih baik dan bermanfaat.

Langkah-langkah ke arah memberikan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada rakyat akan diberikan keutamaan walaupun langkah tersebut tidak menghasilkan keuntungan secara langsung kepada kerajaan.

Bukan senang untuk menjana sokongan rakyat pelbagai lapisan peringkat, walaupun kerajaan BN jelas gagal dalam menangani isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kenaikan harga barang.

Akan sentiasa ada golongan penentang, golongan yang dahagakan penjelasan, golongan yang inginkan perhatian dan golongan skeptikal sentiasa cuba melemahkan semangat.

Tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayaNya. Semoga istiqamah atas perjuangan. - SiasahDaily

Penulis ialah setiausaha Pemuda PAS Marang

1 comment:

Anonymous said...

Di Britain dan Amerika dah lama melaksanakan negara kebajikan menjaga kepentingan masyarakat mereka. Contohnya mereka yang tidak bekerja mendapat sumbangan wang untuk menyara diri mereka. pihak minoriti yang mengamalkan aktiviti haram seperti sex sesama jenis (liwat dan lesbian) juga dibenarkan. Mereka tidak melaksanakan politik Islam. Jadi kalau PAS melaksanakan negara kebajikan maka perkara-perkara maksiat juga akan dibenarkan beleluasa kerana nak jaga kebajikan mereka yang melakukan aktiviti haram dan terkutuk. Hancur Negara!!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive