12 June 2011

PAS tukar Pesuruhjaya di lima negeri

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Selangor dan Terengganu merupakan dua daripada lima negeri menyaksikan ditukar pesuruhjaya PAS, dilihat terdiri daripada kalangan profesional.

Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan turut berubah tampuk pimpinan.

Pengumuman barisan Kabinet baru PAS dan negeri-negeri dibuat presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat kali pertama petang ini susulun muktamar tahunan minggu lalu.

Di Selangor, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru Dr Abd Rani Osman dilantik sebagai pesuruhjaya PAS yang baru menggantikan Datuk Dr Hasan Ali, yang merupakan Exco Kerajaan Negeri manakala di Terengganu Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut menggantikan Datuk Harun Taib.

Harun merupakan Ketua Dewan Ulama PAS.

Di Melaka, Adly Zahari dilantik sebagai pesuruhjaya PAS menggantikan Abdul Ghani Abd Rahman sementara di Negeri Sembilan, Adun Paroi Mohd Taufek Abd Ghani diangkat menerajui parti itu menggantikan Zulkefly Mohamad Omar dan di Sabah Aminuddin Ali pula dilantik pemimpin nombor satu negeri di bawah bayu itu menggantikan Muhamad Abdullah.

The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua Abd Rani dan Mohd Abdul Wahid merupakan golongan profesional. Begitu juga lantikan baru di Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan.

Pemilihan pusat PAS yang berlangsung 3 Jun lalu menyaksikan calon kalangan profesional mengatasi kumpulan ulama.

Ini termasuklah jawatan timbalan presiden, tiga kerusi naib presiden dan 12 daripada 18 kerusi jawatankuasa kerja pusat.

Pesuruhjaya PAS di negeri-negeri lain dikekalkan iaitu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang), Abu Bakar Hussain (Perak), Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah), Salleh Man (Pulau Pinang), Hashim Jasin (Perlis), Mohd Nor Mohamad (Wilayah Persekutuan), Adam Ahid (Sarawak) dan Datuk Dr Mahfodz Mohamed (Johor).

Datuk Mustafa Ali kekal memegang jawatan setiausaha agung, buat penggal kedua sementara Tuan Ibrahim diangkat sebagai ketua penerangan yang baru menggantikan Idris Ahmad.

Mustafa akan dibantu tiga penolong setiausaha agung iaitu Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahmad Sabki Yusuf.

Hadi berkata keputusan itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat yang diadakan itu.

“Semua lantikan ini berkuat kuasa serta-merta dan setiausaha agung akan menghantar surat kepada mereka. Ia dibuat berdasarkan perlembagaan PAS di mana presiden boleh melantik jawatan tertentu dengan persetujuan jawatankuasa kerja pusat.

“Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat kali pertama hari ini,” katanya.

Sementara itu, untuk jawatankuasa kerja PAS pusat yang dilantik ialah bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Idris, Asmuni Awie, Anuar Tahir, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Zulkefly Mohammed Omar dan Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus menjadikan keseluruhan jawatan itu seramai 25 orang - TMI

1 comment:

Anonymous said...

Lantikan Stopa Ali sebagai S/U Agong,tak tahu sama ada "semua AJK PAS Pusat" setuju atau tidak.Khabarnya,ramai yang menolak,tapi Presiden masih berkeras nakkan Stopa Ali.Nampaknya Presiden sudah tak bercakap betul.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive