JEMPOL - Seorang remaja perempuan yang menumpang di rumah kenalan di Felda Jaya Selatan Raja Alias, di sini tidak menyangka kesakitan pada bahagian perut sebagai petanda awal sebelum kelahiran bayinya, kira-kira 9.30 pagi kelmarin.
Difahamkan, gadis berumur 16 tahun itu sempat memberitahu pasangan suami isteri di rumah berkenaan tentang kesakitan dialaminya sebelum memasuki tandas.
Isteri pemilik rumah terbabit bergegas ke tandas apabila mendengar jeritan yang kuat dipercayai dikeluarkan oleh gadis berkenaan.
Wanita itu terkejut besar apabila melihat remaja perempuan berkenaan memegang seorang bayi di tangannya dalam keadaan berlumuran darah.
Seorang individu yang berada di rumah berkenaan kemudian menghubungi hospital dan polis untuk melaporkan tentang kejadian.
Namun, bayi yang baru dilahirkan itu didapati meninggal dunia sebaik sahaja petugas perubatan tiba di kediaman keluarga berkenaan.
Kenalan remaja perempuan berkenaan juga tidak mengesyaki dia hamil kerana saiz perutnya kelihatan seperti normal.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, suspek yang bersekolah dalam Tingkatan Empat datang dari Lukut, Port Dickson ke rumah kenalannya itu, beberapa minggu lalu, sempena musim cuti sekolah.
“Mayat bayi perempuan terbabit dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar dekat sini untuk bedah siasat manakala ibunya sedang dirawat di Hospital Jempol.
“Polis sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana disyaki menyembunyikan kelahiran,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu di sini, semalam. - SH
No comments:
Post a Comment