19 June 2011

selepas Kelab Taat Suami ... kini muncul 'Kelab Suami Curang'

Ketagihan seks jadi punca walau berteman isteri jelita
oleh : Diyanah Annuar

SENARAINYA panjang dan seakan tiada titik noktahnya. Senarai ‘beracun’ yang bukan setakat mengaibkan si pelakunya tetapi turut menjejaskan rumah tangga serta boleh melenyapkan karier cemerlang yang dikemudi. Inilah senarai ‘kelab suami curang.’ Namun, bukan sebarang suami, sebaliknya mereka bergelar insan ternama daripada pemimpin politik, badan berpengaruh, bintang filem sehinggalah yang bergelar ahli sukan bertaraf bintang mega. Ahlinya - termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan bintang golf, Tiger Woods. Dan seakan tiada hentinya, senarai asmara terlarang itu terus bertambah apabila tahun ini kita dikejutkan dengan nasib menimpa Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi; Pengarah Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominic Strauss-Khan; bintang filem popular dan bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger dan wira bola Manchester United, Ryan Giggs.

Bukan soal hidung belang yang menjadi bualan, tetapi hakikat kesemua lelaki berpengaruh itu berimej baik dan mempunyai isteri cantik menawan, berkerjaya dan bijak. Malah ada yang terus sanggup berdiri kukuh menyokong suami mereka yang terpalit dengan skandal memalukan itu seperti dipamerkan Hillary Clinton, Stacey Giggs dan Anna Sinclair Strauss-Kahn. Anehnya, sebahagian besar wanita yang menjadi teman ranjang mereka ini pula mempunyai wajah atau ada iras dengan isteri mereka.

Tindak tanduk lelaki curang ini membuktikan walaupun beristerikan jelitawan, gelojak hubungan terlarang itu bukan mudah disanggah. Tepatlah kata-kata sinis bekas Presiden Amerika, Abraham Lincoln: “Hampir setiap lelaki mampu menempuh kesukaran. Tapi, jika anda ingin menguji karakter sebenar seorang lelaki, berikan dia kuasa.”

Pakar Masalah Seks Amerika Syarikat, Robert Weiss yang juga penulis buku ‘Why Men In Power Act Out,’ berkata hakikat lelaki berpengaruh atau di kemuncak kuasa yang curang, bukanlah sesuatu yang menghairankan.
“Lelaki berpengaruh bergelar pemimpin atau idola bidang berbeza ini mempunyai kerjaya yang hebat. Mereka berdepan tekanan tinggi hingga mereka memerlukan keseimbangan dalam emosi masing-masing,” kata Weiss yang turut mengasaskan Institut Pemulihan Seksual lebih sedekad lalu.

“Ketika bekerja di tahap intelektual yang sangat tinggi, rasa kekebalan, kurang kawalan diri dan tekanan yang berterusan untuk menunjukkan prestasi cemerlang boleh membuatkan emosi mereka terdedah kepada perkara yang boleh meruntuhkan apa yang mereka kecapi selama ini,” katanya merujuk Clinton dan Woods sebagai contoh.

Seorang lagi pakar, Patrick Carnes menyatakan lelaki yang berada di puncak dan berkuasa selalunya terdedah kepada ketagihan seks.

Golongan dimaksudkannya itu adalah individu bekerja 16 hingga 18 jam sehari, sering mengembara jauh daripada insan tersayang dan mempunyai hanya beberapa individu yang betul-betul boleh dipercayai.

“Antara punca ketagihan seksual ini adalah kurangnya sokongan emosional dan keintiman, ditambah dengan trauma emosional silam yang tidak dirawat. Mereka ini kurang berehat, menjaga diri dan keintiman emosi. Setiap manusia memerlukan kehidupan yang sihat secara menyeluruh,” kata Carnes.

Berikut VIP yang curang biarpun diketahui memiliki isteri jelita:


Ryan Giggs, 37

Bintang bola Manchester United ini mengahwini Stacey Cooke, 32, pada September 2007. Pasangan ini mempunyai dua anak - Liberty Beau, 7, dan Zach Joseph, 4 tahun. Malangnya, rumah tangga mereka goyah berikutan pendedahan skandal seks Giggs dengan sekurang-kurangnya tiga wanita termasuk adik iparnya sendiri, Natasha dan bintang program realiti televisyen, Imogen Thomas.

Hubungan sulitnya dengan Thomas di sebuah kelab di London, September lalu.

“Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menjalinkan hubungan kerana kami mempunyai banyak persamaan,” akui Thomas dalam satu temubual dengan sebuah tabloid Britain.

Bintang bola sepak yang dianggapnya kekasih itu membawanya ke bilik penginapannya di hotel dan menghubungi Thomas untuk memeriksa sama ada wanita itu sudah sampai ke rumah dengan selamat. Sejak itu Giggs sering menghantar mesej menggoda kepadanya.

Bapa dua anak ini sebelum ini tidak pernah terbabit dengan kontroversi, malah terkenal dengan imej lelaki baik, mementingkan keluarga dan selalu membawa anaknya ke perlawanan yang disertai.

Giggs juga diangkat sebagai contoh pemain bola sepak profesional. Beliau menyertai MU ketika masih remaja, mula diserap ke dalam pasukan pada usia 17 tahun. Pemain ini pernah memenangi 12 gelaran Liga Perdana bersama pasukan MU hingga tersenarai sebagai pemain bola sepak paling berjaya.

Arnold Schwarzenegger, 63

Pertembungan antara seks dan kuasa sekali lagi menjadi fokus apabila hero filem aksi yang juga bekas gabenor California ini mengaku beliau adalah bapa kepada anak luar nikah dengan pembantu rumahnya. Hubungan yang terjalin bertahun lamanya itu akhirnya menjadi pemusnah rumah tangga yang dibina selama 25 tahun bersama Maria Shriver, 55. Malah wanita jelita ini bukan saja jelita tetapi berasal dari keluarga kesayangan Amerika iaitu Kennedy. Ketika berita perpisahan mereka dikesan awal Mei lalu, pasangan ini tidak menyatakan punca permasalahannya. Shriver keluar dari rumah mereka di Brentwood, California beberapa minggu sebelum mereka mengumumkan perpisahan. Menurut sumber, wanita ini tidak bahagia sejak bertahun lamanya dan ada yang mengatakan sikap kaki perempuan suaminya sejak dulu membuatkan perkahwinan mereka terpaksa diakhiri.

Dominique Strauss-Kahn, 62

Sebelum mendaftar keluar daripada hotel mewah yang didudukinya di Times Square, Kahn didakwa tiba-tiba keluar berbogel daripada bilik mandi dan membuat gangguan seksual terhadap pekerja hotel yang mengemas bilik. Wanita berusia 32 tahun yang juga ibu kepada dua anak mendakwa Kahn mencium dan menariknya ke ruang tamu sebelum mencabulnya. Ketua Tabung Kewangan Dunia (IMF) itu ditahan di dalam pesawat selepas membuat panggilan ke hotel untuk bertanyakans mengani satu antara telefon bimbitnya yang hilang. Lelaki berusia 63 tahun ini, Anna Sinclair, 62, adalah wartawan penyiaran yang terkenal dan mereka berkahwin pada November 1991. Sinclair dikenali sebagai wartawan penyiaran jelita berambut gelap, bermata biru dan pernah menemubual ramai nama besar dan program kendaliannya ditonton jutaan penonton. Perkahwinan dengan Sinclair adalah yang ketiga bagi Kahn yang dilaporkan bersikap bermata keranjang sejak dulu lagi.

Tiger Woods, 35

Jalinan kecurangan bintang sukan golf dunia ini dengan 120 wanita dibongkar penghujung tahun 2009 bermula dengan kisah hubungan sulitnya bersama pengurus kelab malam, Rachel Uchitel. Skandal Woods yang satu demi satu menjadi tatapan umum memberi tekanan hebat terhadap rumah tangganya bersama bekal model jelita, Elin, 31. Pasangan ini berkahwin pada 2005 dan dikurniakan dua cahaya mata. Malah, Woods dikatakan berusaha kira-kira setahun untuk mendekati Elin yang bercinta dengan orang lain sebelum menerima Woods. Selepas pembongkaran itu, krisis rumah tangga mereka menjadi bahan berita. Skandal itu turut menjejaskan karier Woods yang hilang banyak tajaan. Woods kemudian mengambil keputusan mendapatkan rawatan pemulihan bagi ketagihan seks yang dialaminya.

Bill Clinton, 64

Pasangan Bill dan Hillary pertama kali berkenalan pada tahun 1970 di Yale Law School. Clinton dikatakan begitu terpikat dengan Hillary dan beberapa kali mengajak wanita itu berkahwin. Selepas beberapa kali melamar, kedua-duanya berkahwin pada Oktober 1975. Selepas sekian lama berkongsi hidup dan meniti peningkatan kerjaya politik bersama, rumah tangga mereka dilanda kekacauan. Pita rakaman yang menunjukkan hubungan intim antara bekas Presiden AS, Bill Clinton bersama Monica Lewinsky membawa kepada kejatuhan kuas Clinton. Hillary mulanya menganggap tuduhan skandal yang dilemparkan kepada Clinton bermotifkan politik. Namun selepas bukti kukuh mengenai kecurangan suaminya didedahkan, wanita tabah ini dikhabarkan marah tetapi terus mempertahankan perkahwinan mereka.

Silvio Berlusconi, 74

Biarpun usianya sudah mencecah 74 tahun, Perdana Menteri Itali yang juga suami Veronica Lario, 54, lebih cenderung melakukan skandal dengan gadis yang jauh lebih muda daripadanya. Berlusconi sering mengundang wanita, termasuk pelacur bersosial di rumahnya. Pendedahan mengenai minat Berlusconi terhadap model pakaian dalam ketika itu berusia 18 tahun, Noemi Letizia lebih menunjukkan bahawa lelaki ini cenderung kepada gadis muda. Ramai wanita muda yang pernah berdamping dengan Berluconi memberi gelaran ‘Papi’ yang bermaksud ayah kepadanya kerana dianggap penuh kasih sayang. Terbaru, dia dihadapkan dengan dakwaan melanggar pelacur bawah umur membabitkan penari Maghribi, Karima El Mahroug - BH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive