KUALA LUMPUR, 19 Julai: Bekas pelajar Uiniversiti Teknologi Mara (UiTM) membantah tindakan universiti itu yang mahu menawarkan Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar cemerlangnya.
Dalam satu surat kepada Harakahdaily, seorang alumni kampus itu, Hatri Asmawi berkata tindakan menerima anugerah itu hanya akan memburukkan nama universiti itu sahaja.
Ia memandangkan latar belakang dan perjuangan Ibrahim Ali yang terlalu ekstrim, mementingkan bangsa tanpa memperdulikan sensitiviti kaum lain.
"Sebagai seorang alumni UiTM yang prihatin, saya amat tidak bersetuju jika anugerah ini diteruskan.
"Sekiranya anugerah ini diberitakan, graduan UITM lain akan menjadi mangsa kepada diskriminasi akibat dari anugerah dari seorang rasis," katanya.
UiTM semalam dilaporkan membuka pencalonan bagi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu.
Anugerah berkenaan menawarkan wang RM5,000 yang ditaja oleh presiden pendesak Melayu, PERKASA itu sendiri kepada dua orang pelajar cemerlang yang mempunyai prisip yang jelas dan konsisten memartabatkan bangsa.
Masing-masing mereka akan mendapat RM2,500.
Antara kriteria lain pelajar tersebut:
-Menjadi pemimpin persatuan yang berdaftar dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni seperti persatuan kebudayaan, kesenian Melayu atau persatuan kebangsaan lain yang dianggap cemerlang dan berkesan di dalam atau di luar kampus.
-Menjadi pemimpin atau jawatankuasa yang memperjuangkan bangsa dan budaya di luar kampus seperti GPMS, ABIM, PERKASA, GAPENA.
-Mendapat pengiktirafan dari badan-badan di luar UiTM.
Difahamkan idea anugerah ini datang daripada Ibrahim sendiri.
Mengulas lanjut, Hatri berkata tindakan itu juga akan mencemarkan visi dan misi UiTM sebagai sebuah institusi yang mengeluarkan pelajar-pelajar yang berbilang bangsa dan agama yang mementingkan muhibah sesama kaum dan sesama rakyat Malaysia.
"Anugerah ini juga akan menyebabkan institusi UiTM akan dipandang serong oleh industri-industri domestik yang selama ini memandang tinggi graduan UiTM yang serba boleh dan berprestij tinggi.
"Saya berharap usaha yang keras perlu dilakukan untuk menghalang anugerah ini dari diteruskan," tegasnya.
No comments:
Post a Comment