KUALA LUMPUR: Polis semalam menutup pintu rundingan dengan penganjur perhimpunan haram 9 Julai ini dan bersedia mengambil tindakan tegas termasuk kemungkinan menahan mereka lebih awal bagi memastikan perhimpunan tanpa permit itu tidak diadakan. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, menegaskan pihaknya akan menggunakan semua peruntukan undang-undang termasuk tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang terus berdegil mahu meneruskan perhimpunan haram itu.
Katanya, polis sudah mengambil pelbagai langkah dengan memanggil semua pihak terbabit termasuk secara bersemuka dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, tetapi mereka didapati tidak berganjak dengan pendirian untuk terus menganjurkan perhimpunan itu.
“Dalam tempoh dua hari lalu, Ketua Polis Negara dan saya sendiri jemput penganjur termasuk BERSIH, PAS, Pemuda UMNO dan PERKASA ke Bukit Aman. Kami beritahu mereka kebimbangan polis dan implikasi perhimpunan itu termasuk kekhuatiran peniaga, pengusaha pelancong dan orang ramai.
“Namun hasil pertemuan itu, mereka ingin juga meneruskannya, jadi kita akan gunakan apa juga peruntukan undang-undang untuk memastikan ia tidak diteruskan, kita sudah beri amaran sebelum ini yang kita tidak akan benarkan perhimpunan 9 Julai,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.
Rabu lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali mewakili Presidennya, Datuk Ibrahim Ali serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, dipanggil bersemuka dengan Ketua Polis Negara di Bukit Aman untuk diberi penerangan berhubung perancangan mereka mengadakan perhimpunan menentang BERSIH.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk S Ambiga pula hadir ke Bukit Aman kelmarin.
Ditanya sama ada polis akan menahan penganjur lebih awal dan menggunakan ISA jika mereka tetap mahu meneruskan perhimpunan itu, Khalid berkata, “Saya tidak menolaknya... saya tidak menolak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang yang ada.”
Mengenai kenyataan Ambiga yang beliau akan berjumpa sekali lagi dengan Ketua Polis Negara sebelum 9 Julai, Khalid berkata, pintu rundingan sudah tertutup.
“Tak payah... kita tak mahu buat rundingan lagi. Kita sudah memutuskan tidak membenarkan apa juga perhimpunan pada 9 Julai. Tidak ada rundingan lagi,” katanya.
Khalid berkata, sehingga semalam, 115 individu ditahan di seluruh negara mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis kerana cuba mengadakan perhimpunan haram dengan 30 daripadanya masih direman di Pulau Pinang selain 2,136 laporan polis diterima berhubung bantahan terhadap penganjuran perhimpunan haram itu.
Ditanya sama ada polis akan menahan individu memakai baju merah tertera perkataan PATRIOT yang digunakan Pemuda UMNO untuk mengajak orang ramai menyertai perhimpunan menentang BERSIH, Khalid berkata, “Apa saja yang menunjukkan sokongan terhadap perhimpunan 9 Julai, baik kuning, merah, hijau atau kelabu, kita akan ambil tindakan.”
Mengulas penemuan gambar mempunyai unsur komunis yang dirampas daripada 30 individu yang ditahan di Pulau Pinang serta di pejabat Sekretariat BERSIH di Petaling Jaya, Khalid berkata, polis sedang menjalankan siasatan lebih mendalam berhubung perkara itu memandangkan ia jelas mempunyai elemen fahaman komunis.
1 comment:
TKPN,elok lh cari kerja lain krn PRU13 ni bn dh mampuih.klau mahu bleh aku rekomen kn krja jg klang kicap.pkai uniform jgk bro!
Post a Comment