Kata orang bukan mudah untuk lupakan kenangan lama. Lazimnya kenangan itu menjadi sesuatu yang penting dalam kehidupan seseorang. Namun tidak semua mahu kita kekalkan dalam kotak fikiran kerana ia mungkin mengganggu ketenteraman jiwa dan kehidupan. Bagi saya kedatangan Ramadan ini, kenangan mengusik jiwa ialah tatkala berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Ketika menjadi usahawan kecil itu tidak pula menyangka ia akan mempengaruhi hidup saya di kemudian hari.
Waktu itu saya masih di bangku sekolah dan Ramadan memberi kelebihan dalam usia ini kerana orang tua kita tidak sekeras pada bulan-bulan biasa. Bersama rakan sekampung, kami membuat keputusan menjual ketul ais di tepi jalan dekat rumah kami, berhampiran bandar Teluk Intan.
Modalnya tidak banyak, dari wang simpanan pemberian ayah sebagai perbelanjaan persekolahan setiap hari. Ais yang dijual dibeli dari sebuah kilang ais di bandar ini manakala habuk ais kami ambil dari kilang kayu berdekatan.
Habuk papan itu kami angkut dengan basikal sambil diperhatikan seekor anjing milik kilang berkenaan. Pada waktu moodnya bagus, pengawal kilang biarkan habuk-habuk itu diangkut keluar manakala ada hari-hari di mana kebenaran dibatalkan. Anjing yang garang bukanlah mendatangkan ketakutan ketika itu, tetapi khuatir jika jaga kilang melarang habuk ais diangkut dan ada kala kami dikenakan bayaran.
Sebelah petang selesai sekolah, kami membuat walkabout ke segenap kediaman untuk ambil pesanan. Nama pemesan dan jumlah ketulan ais dikehendaki kami catat pada buku 555.
Kontrak kami dengan pelanggan hanya di buat mengikut janji mulut dan jarang sekali mereka mungkir. Kalau hujan lebat, adalah satu dua batalkan pesanan.
Harga getah dan gaji penjawat kerajaan tidak seperti hari ini, justeru peti ais adalah barang mewah di luar kemampuan beli. Faktor inilah maka perniagaan kami dianggap sangat strategik. Ais saiz sebiji batu bata dijual 10 sen. Ada juga yang sekadar mahu 5 sen dan kami tentu teruja jika ada yang memesan 20 sen. Kami guna kertas surat khabar lama bungkus ais yang disalut habuk papan dan diikat dengan tali rafia.
Perniagaan kami mendapat sambutan walaupun bersaing dengan kedai kopi cina yang juga jual ais. Namun penduduk yang sudah kami kenali sejak kecil sering memberi sokongan. Hujung bulan menjelang Syawal, tabung ayam yang digunakan mengumpul keuntungan hasil jualan dipecah bagi membolehkan kami bahagikan keuntungan.
Barangkali saya bukan ditakdirkan menjadi tokoh korporat seperti Tony Fernandez atau Syed Mokhtar alBukhary, namun pengalaman itu membolehkan saya menulis mengenai dunia perniagaan dari kaca mata seorang budak sekolah. Hari ini sudah tidak ada lagi budak-budak menjual ais di tepi jalan. Sebaliknya bazar Ramadan muncul di mana-mana dengan penjualan berbagai juadah.
Khemah atau kanopi berbumbung tajam menjurus ke langit berwarna putih memberi imej kepada bazar. Ia dapat dilihat di mana-mana dan menjadi sinonim dengan tapak bazar. Dulu peniaga terpaksa memasang khemah sendiri seperti pasar malam menyebabkan keadaan tidak terurus. Bila hujan, bukan saja peniaga dan pelanggan kepayahan, makanan dan barang yang dijual juga rosak.
Bazar Ramadan sinonim dengan orang Melayu membuat persiapan menjelang masa berbuka, justeru jarang kita lihat orang bukan Melayu. Satu ketika dulu kalau pelanggan bukan Melayu berkunjung membeli satu dua juadah maka ia menjadi perkara luar biasa. Tapi kini di bandar-bandar besar, bazar Ramadan semakin mencerminkan masyarakat majmuk Malaysia dan seolah-olah membenarkan slogan dan konsep 1Malaysia. Sudah ada tanda-tanda orang bukan Melayu menerima bazar ini sebagai open food super market.
Tidak seperti zaman saya menjual ais, hari ini potensi perniagaan makanan adalah luas. Namun kita perlu mengorak langkah dan mengubah sikap serta ada visi ke hadapan. Tetapi jika perniagaan pada Ramadan ini hanyalah untuk mendapatkan duit perbelanjaan hari raya, maka potensi dan peluang ini akan mati setakat di situ. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment