BETUL ke?
Takkan kot.
Persoalan itu yang bermain di fikiran Abang Fen sambil memandu kereta ke Teluk Kumbar dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Mana tidaknya, Abang Fen dalam perjalanan ke sebuah gerai yang menghidangkan laksa dan cendol pulut dalam tempurung.
Bagaimana pengusahanya meletak tempurung itu di atas meja dan macam mana pula laksa dihidang...tak tumpah ke?
Setibanya di gerai itu, Abang Fen tengok dah ramai pelanggan menunggu giliran.
Memang tak sabar lagi Abang Fen nak beratur sama, tak sabar nak makan laksa bersulamkan cendol...fuh..sedap you all.
Semasa Abang Fen berdiri menunggu lebih kurang 10 minit, sepasang sepasang suami isteri yang baik hati mempelawa Abang Fen duduk di sebelah mereka yang kebetulan pula ada seorang pelanggan lain baru bangun.
Kemudian Abang Fen pesan laksa tempurung dan cendol pulut tempurung untuk merasai sendiri, adakah rasanya selazat dan seunik namanya.
Di hadapan Abang Fen ada lebih kurang sepuluh biji keratan batang buluh yang siap dipotong lebih kurang satu inci setengah setiap satu sebagai acuan pelapik tempurung.
"Boleh tahan juga kreatifnya tuan gerai ini," kata hati kecil Abang Fen.
Potongan buluh itu juga menjawab teka-teki yang bermain difikiran Abang Fen tadi.
Sekejap saja Laksa dan cendol pulut yang diisi didalam tempurung dihidangkan seorang gadis untuk Abang Fen.
















