02 March 2014

‘Penghibur jalanan’ meriahkan Bukit Bintang

 | March 2, 2014
Sentuhan Penghibur jalanan menjadi tarikan rakyat tempatan dan pelancong ke Bukit Bintang.
FMT FOCUS
Muzik Jalanan (2)PETALING JAYA: Bukit Bintang dI KuaLa Lumpur merupakan kawasan  tumpuan rakyat Malaysia mahupun pelancong untuk membeli belah atau  pun hiburan malam.
Banyak komplek membeli belah terkenal serta pusat-pusat hiburan seperti kelab malam dan bar.
Pelancong dari pelbagai negara, dari Asia, Timur Tengah hingga Amerika Latin memenuhi Bukit Bintang sejak awal petang hingga pagi terutama pada hujung minggu.
Namun, hiburan di Bukit Bintang bukan sahaja bar dan kelab malam tetapi juga penghibur jalanan yang bermain muzik atau lebih dikenali dengan panggilan baskers.
Pada 21 Febuari lalu, FMT telah menemubual sebuah kumpulan baskers yang melakukan persembahan di hadapan Bank CIMB di Jalan Bukit Bintang.
Kumpulan yang menggelar diri mereka Sentuhan Baskers ini yang dibentuk hampir dua tahun lalu kini menjadi antara tarikan rakyat serta pelancong Bukit Bintang apabila mereka memulakan persembahan mereka bermula jam 10 malam.
Kumpulan ini pada asalnya dianggotai oleh empat orang, namun adakalanya disertai juga oleh rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama.
Menurut Izzat, 23 tahun, ketua kumpulan, penyanyi, pemain gitar kedua serta pengasas kepada Sentuhan Baskers ini, mereka memilih untuk berada di jalanan kerana minat yang mendalam kepada musik.
Menurutnya, sebelum tertubuhnya Sentuhan Baskers, dia hanya berbasking sendirian atau bersama seorang rakan di sini.
“Ini minat saya…sebab nak hiburkan orang awam dan pelancong-pelancong yang datang secara terbuka,” katanya dalam suara serak basahnya itu.
Tambahnya lagi, mereka belajar erti keikhlasan dalam menghiburkan orang ramai melalui basking.
‘Saya penghibur’
Muzik Jalanan (1)“Pada saya seorang penghibur, tugas (dan) niat saya untuk menghiburkan sesiapa sahaja. Dari situ saya belajar erti keikhlasan bagaimana saya menghiburkan orang, saya memberi kepada orang.
“Sebenarnya bukan meminta, tapi kita memberi dan Alhamdulillah, apa yang diberi itu dapat hasil dengan wang ringgit. Basking ini kerjaya saya, sebelumnya asal itu memang bermain di kelab, (menjadi) back-up artis tapi sekarang saya memilih cara ini (basking) sebab ini minat saya,” terangnya.
Tambah anak muda dari Pulau Pinang itu, Sentuhan Baskers memainkan lagu-lagu sedia ada dengan susunan muzik yang tersendiri.
“Saya lebih suka kita buat arrangement sendiri, apa muzik saja…lebih baik main muzik sendiri. Dalam masa yang sama kita gubahkan lagu orang sebab kita nak meningkat ,,,kita nak belajar. Untuk saya dalam muzik kita nak buat sesuatu berlainan,” tambahnya lagi.
Menurut Izzat, mereka berada di sana hampir setiap malam kecuali jika ada urusan tertentu manakala barisan pemuzik adakalanya juga berubah bergantung kepada jadual masing-masing.
Apa yang paling menarik mengenai kumpulan ini pastilah kemampuan mereka untuk melibatkan penonton dalam persembahan mereka. Selama lebih dua jam kami di sana, dapat dilihat penonton bergelak tawa, menyanyi bersama malahan ada juga yang kelihatan menari.
Yang paling menarik perhatian ramai pastilah Ramli Abas, 63 tahun, ataupun lebih dikenali sebagai Papa Rock Bukit Bintang, mungkin kerana Ramli menggayakan rambutnya seperti Papa Rock Ramli Sarip.
Ramli, yang berkerusi roda sejak tahun 1990 kerana kemalangan yang menyebabkan tulang belakangnya patah, berkata dia sudah menceburi bidang basking sejak 20 tahun yang lalu untuk mencari rezeki tambahan.
Telatah Ramli ternyata mengusik hati para penonton terutama sekali apabila Ramli menyanyikan lagu Kamalia dendangan Sweet Charity.
Gayanya seperti rockers sejati itu pastinya mencuit hati sesiapa, tambahan pula dia sendiri sempat mengusik beberapa gadis yang hadir serta berkongsi mikrofon dengan penonton yang lain.
`Cari rezeki’
Muzik Jalanan (3)“Saya memang mencari rezeki melalui cara ini…saya menghambakan diri kedalam bidang baskers. Kerusi roda ini tak menghalang saya (basking) dan budak-budak baskers rata-ratanya sudah kenal saya.
“Kebiasaannya kalau saya ada di sini boleh katakan crowd (penonton) penuh, ramai peminat…boleh katakan semulajadi anugerah tuhan kepada saya,” katanya lagi.
Selain dari Ramli, seorang lagi ahli yang menarik perhatian pastilah anggotanya yang bertudung, Fazilah Asmar.
Gadis berusia 28 tahun ini ternyata mempunyai suara yang lunak dan tidak gentar beraksi di hadapan penonton.
Menurutnya, dia memang cintakan muzik dan menyertai kumpulan ini menerusi  rakan-rakan, walaupun dia sendiri sebenarnya sudah bekerja sebagai pengurus butik pakaian terkenal.
“Penat tu pada saya tidak sebab ini minat, hobi saya jadi apa yang saya buat itu saya rasa puas. Jadi saya tidak rasa apa yang saya buat itu memenatkan atau membebankan saya, apa yang saya rasa ialah enjoy (senang),” katanya lagi.
Tambah Fazilah, yang lebih mesra dengan panggilan Zila, imej bertudung itu tidak menghalang dirinya dari berkecimpung dalam bidang hiburan ini.
Jika dilihat dari persembahan mereka, ternyata yang dapat dilihat ialah setiap ahli Sentuhan Baskers sendiri menikmati saat mereka menghiburkan orang ramai, senyuman tidak lekang dari bibir masing-masing malahan ada ketika mereka sendiri tertawa dengan telahan masing-masing ketika melakukan persembahan.
Adakalanya, mungkin muzik mereka sedikit ‘lari’ namun kemampuan mereka untuk kembali mencari rentak yang sama dan menghiburkan penonton tidak dapat dipertikaikan.
Menjelang jam satu pagi, Sentuhan Baskers menamatkan persembahan mereka dan penonton mula beransur namun ‘kehangatan’ persembahan mereka masih dapat dirasai.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive