02 March 2014

Ali Tinju [senaman punggung] marah Malaysiakini kerana laporan mengenai Rosmah

Radzi Razak | 4:32PM Mac 2 2014


  • NGO yang terkenal dengan 'senaman punggung' hari ini mahu mengadakan protes terhadap Malaysiakini kerana laporan mengenai isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

    Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Mohd Ali Baharom (kanan, berbaju kuning) berkata, laporan Malaysiakini 27 Februari lalu berhubung kesibukan Rosmah sehingga tiada masa untuk hobi, tidak tepat dan berniat jahat.

    "Saya rasa amat terkilan dengan tindakan Malaysiakini. Kenapa Malaysiakini tidak spin bila Datin Seri memberi sumbangan melawat kebakaran, melawat mangsa banjir di Bandar Tun Razak.

    “Benda baik kenapa Malaysiakini tidak mahu spin? Tidak mahu agungkan atau beri ucapan tahniah kepada isteri PM," kata beliau dalam sidang media hari ini.

    'Datang dengan surat, bukan pistol'

    Ali yang turut mengetuai Sekretariat Gabungan Sahabat 1Malaysia (SAHABAT) memberi tempoh 7 hari kepada Malaysiakini untuk memohon maaf atau berdepan dengan protes besar-besaran NGO itu.

    -Bagaimanapun Ali berkata beliau perlu meminta permit dari polis di bawah Akta Perhimpunan Aman terlebih dahulu sebelum mengadakan protes tersebut.

    Beliau turut berkata hanya akan membawa 20 hingga 30 orang kerana tidak mahu mengganggu lalu lintas dan perniagaan pada hari tersebut.

    "NGO ini ikut peraturan sedia ada, perlu ambil kelulusan polis dahulu... tak ada botol, kaca, pistol kita datang dengan surat sahaja, kita suarakan bantahan itu.

    "Bagi saya tak perlu bawa 1,000, 2,000, itu budaya songsang, budaya hura-hara rosakkan kedai orang lain," kata beliau. - malaysiakini

TERLATEST : Anugerah: NGO gesa PM pecat Zahid Hamidi


Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Mohd Ali Baharom mahu Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengundurkan diri dari kabinet.

Beliau turut mengatakan Zahid tidak menjaga maruah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan menyampaikan penghargaan kepada Malaysiakini.

"Saya terkejut juga dengan pemberian anugerah menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) Zahid Hamidi kepada Malaysiakini.

“Itu kami sedih dan rasa marah kepada menteri KDN yang tidak peka, tidak celik dan tidak bijak yang boleh dipanggil bodoh," kata beliau dalam sidang media di Hotel Midah hari ini.

Ali berkata tidak patut seorang menteri kabinet seperti Zahid memberi penghargaan kepada Malaysiakini tidak sampai sehari selepas mengeluarkan berita berhubung kesibukan Rosmah yang tiada masa untuk hobi, anaranya bermain badminton.

Ali (atas, berbaju kuning) hari ini ditemani gabungan 14 NGO lain di bawah payung Sekratariat Gabungan Sahabat 1Malaysia (SAHABAT).

Malaysiakini mendapat hadiah Kecemerlangan Media Sosial untuk kategori media atas talian dalam Anugerah Media Sosial dan Penulis Blog Sedunia 2014 27 Februari lalu.

Bagaimanapun anugerah bukanlah dari Zahid yang hanya hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah.

Anugerah kepada Malaysiakini itu hasil undian awam (80 peratus) dan selebihnya penilaian juri.

Ali yang lebih dikenali sebagai “Ali Tinju” juga mendakwa Zahid telah menunjukkan prestasi buruk sepanjang menerajui KDN sejak tahun lalu.

Kerja separuh jalan

Ali mendakwa Zahid hanya melakukan kerja setengah jalan termasuk dalam isu membabitkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan isu kalimah Allah, kerana tiada pendakwaan dibuat ke atas Mohamad dan paderi Lawrence Andrews.

"Saya ulang sekali lagi mohon jasa baik PM Datuk Seri Najib Razak supaya pecat Zahid Hamidi.

"Beliau buat pelbagai masalah, buat kerja setengah jalan dan tak habiskan kerja beliau. Conotohnya isu Mat Sabu, Dia 'gempak' dalam dewan (perhimpunan agung) Umno tetapi tiada tindakan (susulan)

Ali turut mempertikaikan kenyataan Zahid dalam isu video kontroversi anggota Parlimen DAP Teresa Kok yang disifatkan Ali sebagai 'membahayakan' negara.

"(Dalam) isu Teresa Kok, dia katakan tampar orang tak salah. Ini yang bahaya ini. Harap PM bijak untuk buat penukaran," kata beliau.

Sementara itu seorang pemimpin NGO AKS Ramesh Rao pula mendakwa Malaysiakini didanai oleh badan yang menyokong revolusi 'Arab Spring' di Timur Tengah dan sebahagian dari agenda zionis.

Beliau turut mempertikai pemberian hadiah Kecemerlangan Media Sosial untuk kategori media atas talian dalam Anugerah Media Sosial dan Penulis Blog Sedunia 2014 27 Februari lalu.

"Penerima dana zionis tidak layak jadi media portal terbaik. Banyak lagi portal baik di Malaysia ini," kata beliau. - malaysiakini



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive