07 November 2011

Dr Juanda Mufti Perlis minta MCCBCHST usah campuri urusan agama lain

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya kecewa dgn tindakan Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang mengeluarkan pandangan rasmi mengarahkan umat Islam supaya tidak meneruskan amalan korban secara terbuka.

“Ini jelas mengarahkan urusan ritual agama lain. Lebih baik jangan campur, dan kalau ada terkilan sedikit sebanyak, lebih baik selesai secara tertutup, jika rasa terganggu.

“Malaysia sudah merdeka begitu lama dan kita dah hidup rukun damai cukup lama, jadi jangan kecohkan hal macam ini,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada Malaysiakini.

MCCBCHST pada Jumaat lalu melalui satu kenyataan media menggesa supaya amalan menyembelih lembu-lembu tidak diteruskan di perkarangan sekolah dan tempat-tempat awam.

Menurut MCCBCHST, pihaknya kurang senang apabila aktiviti seperti itu dijalankan di hadapan penduduk pelajar yang berbilang kaum dan budaya, kerana ia tidak mengambil kira sensitiviti kanak-kanak sekolah dan masyarakat majmuk Malaysia.

"Kami merayu pihak berkenaan supaya menghormati sensitiviti masyarakat kita yang berbilang agama dan memohon mereka untuk menghentikan upacara pengorbanan daripada dijalankan di sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi dan tempat-tempat awam lain.

"Kami berpendirian bahawa tempat-tempat awam, terutamanya sekolah-sekolah, bukan tempat yang tepat untuk melaksanakan upacara ini yang hanya berkaitan dengan masyarakat Islam.

"Ini tidak memberi teladan yang baik untuk kita menggalakkan keharmonian dan keamanan di kalangan rakyat majmuk negara ini,” kata kenyataan MCCBCHST itu lagi.

Tindakan ekstrim

Bagi Dr Juanda, beliau bimbang tindakan sebegini akan dibalas dengan tindakan ekstrim daripada pihak yang satu lagi.

“Sebagai sebuah kesatuan yang ada intelektualnya, sewajarnya mereka lebih bijak, bukannya meniupkan semangat eksterim dan mahu campurtangan urusan ibadat agama lain.

“Sudah cukuplah bilangan kumpulan ekstrim di Malaysia, jadi jangan hendak ditambah lagi,” katanya.

Semalam, Sekretariat Persefahaman dan Kerjasama Gerakan Dakwah (SPKGD) yang dianggotai oleh tiga badan bukan kerajaan (NGO) Islam iaitu Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) meminta semua pihak menghargai sifat toleransi umat Islam.

Dalam satu kenyataan bersama, SPKGD berharap tidak ada pihak yang cuba mencampuri urusan agama lain.

“Pihak Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) seharusnya menghargai sifat toleransi penganut agama Islam yang tidak masuk campur hal ehwal agama lain.

“Pihak MCCBCHST juga perlu memberikan kerjasama seperti mana umat Islam bekerjasama terhadap penganut agama Hindu bagi merayakan Thaipusam, masyarakat Cina merayakan pesta
tanglung, penganut Taoisme merayakan pesta hantu lapar dan seumpamanya,” kata mereka.

Ibadah korban adalah sunat mu’akkadah bagi umat Islam dan di Malaysia, lembu sering-kali disembelih. Namun bagi penganut Hindu lembu dianggap sebagai binatang suci dan penyembelihan di tempat awam dikatakan tidak sesuai - Malaysiakini

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive