19 November 2011

Isu Lembu Shahrizat : PAC mulakan inkuiri 23 Nov

Oleh Shazwan Mustafa Kamal  @ The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan mengadakan pendengaran dalaman berhubung projek ternakan lembu kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, minggu depan ekoran kerugian dan dakwaan salah guna dana awam RM250 juta.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang menuntut penjelasan daripada kerajaan dan agar kesemua minit mesyuarat Kabinet diumumkan kepada publik.

Anggota PAC Datuk Abdul Rahman Dahlan (gambar) memberitahu The Malaysian Insider bahawa inkuiri akan diadakan Rabu ini, bermula pukul 11.30 pagi.

Ahli Parlimen Umno itu berkata PAC akan menentukan pihak yang perlu dipanggil untuk memberi keterangan ketika pendengaran dalaman itu minggu depan.

“Kami kemungkinan memanggil Kementerian Kewangan, Khazanah, ia bergantung. Secara peribadi, saya juga tiada masalah untuk memanggil pengurusan NFC bagi memberi keterangan,” kata Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Kota Belud berkata tarikh bagi sesi pendengaran pertama diputuskan minggu lepas dan jawatankuasa memutuskan bahawa isu berkenaan perlu disegerakan ekoran kepentingan awam dan minat yang ditunjukkan oleh orang ramai.

Masalah menyelubungi projek itu didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang dikeluarkan 24 Oktober lalu.

Antara lain pembangkang khususnya PKR mendakwa dana NFC juga digunakan untuk membeli kondominimum mewah di Bangsar.

Dalam penjelasan kepada media terpilih kelmarin pengurusan NFC mengaku dakwaan itu dengan berkata lebih RM13 juta digunakan untuk membeli dua unit kondominium.

Pengurusan NFC juga mendakwa pelaburan itu adalah sesuatu yang strategik. 


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive