06 November 2011

Laksana refomasi pilihanraya atau hadapi protes rakyat yang lebih besar

KUALA LUMPUR: Satu gerakan besar-besaran akan diadakan sebagai amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya gagal melakukan proses penambahbaikan pilihan raya sebelum pilihan raya umum diadakan.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata jika gesaan itu gagal dipenuhi, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan mengadakan protes dengan mobilisasi yang besar sebagai menuntut proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil.

Badrul yang turut dikenali sebagai Chegubard berkata, gerakan itu sedang dikumpulkan yang terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan lain.

“Kami bersama teman-teman organisasi yang lain hari ini mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya memberi amaran kepada PM bahawa PRU hanya boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses pilihan raya dilakukan,” kata beliau dalam satu sidang media hari ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai CheguBard berkata beliau merujuk kepada janji Najib selepas Himpunan Bersih 2.0 September lalu di mana beliau mengumumkan pembentukan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk mengkaji perkara ini.

Bagaimanapun, CheguBard melahirkan kebimbangan dengan beberapa ’maklumat’ yang diterima bahawa Najib bakal membubarkan parlimen pada 11 September ini sebelum sebarang penambahbaikan diimplementasikan.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) Haris Ibrahim menyatakan jika ini bukan kesnya, Najib sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional harus menyatakan pendirian beliau dan berterus-terang dengan rakyat.

“Jika benar (parlimen dibubar November) ini. Kita lihat ini sebagai satu lagi langkah Umno dan Barisan Nasional untuk mempertahankan kuasa di peringkat pusat dan negeri dengan cara yang tidak betul dan menafikan hak majoriti rakyat yang mahukan perubahan,” kata beliau.

Justeru beliau meminta para wartawan bertanya soalan tersebut sekembalinya Najib dari menunaikan haji pada 9 November ini.

Turut hadir bersama CheguBard dan Haris ialah wakil Parti Rakyat Malaysia Dr Rohana Ariffin, wakil Parti Keadilan Kaum India, PS Jennapala dan wakil Liga Graduan Tiada Pekerjaan Devadas Silvaraju - FMT

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive