KUALA LUMPUR: Pengarah persembahan Konsert Kugiran 60’an Pop Yeh Yeh, Lokman Ghani yakin kekuatan aura yang masih dimiliki oleh penyanyi-penyanyi era 1960-an bakal membawa kejayaan kepada konsert itu yang dijadualkan pada 20 hingga 22 Januari depan.
Lokman yang juga pengarah teater dan drama berpengalaman berkata, dia menerima pelawaan penganjur konsert, Gombak Serumpun Sdn Bhd (GSSB) kerana mahu merasai pengalaman yang berbeza berbanding mengarahkan teater, muzikal dan drama sebelum ini.
“Saya tertarik dan suka dengan tawaran untuk mengarahkan konsert ini kerana ia lain daripada yang lain. Sebelum ini, saya sudah biasa mengarahkan teater, muzikal dan drama tetapi kali ini, saya berpeluang untuk mengemudi perjalanan sebuah konsert pula.
Konsert Kugiran 60’an Pop Yeh Yeh itu bakal menghimpunkan Datuk Jeffrydin, Datuk L. Ramlie & Orkes Teruna Ria, Datuk A. Rahman Hassan, isterinya Datin Azizah Muhamad & Orkes Nirwana, A. Halim & D’Fiction, J. Sham & The Wanderers, A. Rahman Onn & The Strangers dan kugiran iringan The Rhythm 60’s.
Ia bakal berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Januari pada pukul 8.30 malam di Istana Budaya.
Barisan penyanyi era 60-an yang bakal menjayakan Konsert Kugiran 60’an Pop Yeh Yeh.
Lokman berkata sebagai menyuntik elemen segar dan kontemporari pada konsert itu nanti, dia akan menitik beratkan aspek teknikal agar persembahan penyanyi-penyanyi tersebut akan menjadi lebih hebat dan meriah.
“Saya tidak perlu gusar tentang aspek muzik dan nyanyian kerana mereka memang hebat dan konsisten dalam aspek itu.
“Sebagai pengarah, saya akan selitkan beberapa elemen segar pada aspek teknikal yang melibatkan pergerakan pentas, visual di layar dan pencahayaan, selain memilih pelawak Abon sebagai pencerita bagi menyuntik suasana yang lebih santai,” katanya.
Lokman menambah, pada malam konsert itu, barisan artis 60-an ini masing-masing akan menyampaikan tiga buah lagu penuh dan sebuah dendangan instrumental.
Ia dijangka akan berlangsung dalam tempoh 1 jam 45 minit.
Tiket-tiket konsert yang berharga RM40, RM80, RM120, RM160, RM200, RM240 dan RM350 boleh didapati menerusi Ticket2U.biz di talian 03-4147 8600 atau hubungi GSSB di talian 012-3695230 dan 012-322 4104.- mStar
No comments:
Post a Comment