PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara popular, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy menyatakan sudah memaafkan Johan (Raja Lawak) yang dianggap telah mengaibkannya ketika mengacarakan Festival Filem Malaysia Ke 24 (FFM24) tahun lalu.
Ogy berkata, sebagai seorang wanita Islam, dia tidak membenci Johan malah telah memaafkan pelakon komedi itu yang menggunakan namanya sebagai bahan lawak dengan niat mempersendakannya.
Ogy berharap pengacara muda itu mempelajari kesilapan yang telah dilakukan.
"Bagaimanapun, berkenaan dengan tindakan saman itu (terhadap Johan) , saya serahkan sepenuhnya kepada peguam saya.
"Apa-apa pun, saya dah okey tentang hal ini. Cuma dia harus belajar daripada kesilapannya supaya tahu mana yang patut atau tidak ketika mengacara bersama pasangan mengikut kesesuaian.
Tambah Ogy, kerana kata-kata sinis juga, ia bukan sekadar menyinggung perasaan orang malah boleh 'mencacatkan' sesebuah majlis yang dikendalikan.
Beberapa minggu selepas FFM24, Ogy telah membuat kenyataan kepada beberapa media akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Johan kerana mempersendakan arwah ibu bapanya, mempermainkan tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW dan memperkecilkan dirinya sebagai pelakon yang lebih senior.
Ogy juga menyifatkan kata-kata Johan ketika mengacara bersama adalah kurang ajar serta satu penghinaan di mana dia tidak mampu untuk bertolak ansur dengan sikap biadab itu.
Sementara itu, Ogy yang kini bakal menjadi mentor bagi program realiti 'Mentor' tidak lama lagi begitu berkobar-kobar untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang pendidik kepada “protegenya”.
"Sepatutnya uji bakat untuk mencari protege saya pada 4 Februari ini tetapi saya ingin membuat usaha saya sendiri dengan mencari bakat-bakat baru di beberapa universiti.
"Kalau boleh saya mahu mencari protege yang mempunyai ilmu seni muzik dan sedikit sebanyak memudahkan saya untuk mengajar. Malah saya juga akan membuat kelas tambahan buat protege yang dipilih nanti," ujarnya. - mStar
No comments:
Post a Comment