“Majlis perkahwinan saya nanti akan diadakan secara sederhana. Tidak akan ada acara bersanding seperti yang selalu diadakan oleh pasangan artis lain. Tetapi, kami akan sediakan satu tempat khusus untuk sesi fotografi. Saya memilih majlis perkahwinan sebegini kerana saya masih menganggap diri ini seperti orang biasa, bukan artis. Jadi, selepas berbincang dengan keluarga kedua-dua belah pihak, kami bersetuju untuk mengadakan kenduri kahwin di perkarangan masjid sahaja,” ulas Ana Raffali berhubung majlis perkahwinannya dengan Ahmad Aznaim Abdullah pada 25 Februari hadapan.
Bercerita lanjut tentang majlis perkahwinannya itu, Ana memberitahu buat masa ini persiapan untuk majlis itu masih dalam peringkat permulaan. Bahkan, dia masih belum sempat memilih pereka fesyen untuk busana perkahwinannya.
“Buat masa ini saya tidak dapat memberi nama pereka fesyen yang akan mereka busana perkahwinan saya nanti. Bukan tidak mahu berkongsi, tetapi saya belum buat sebarang keputusan. Bagaimanapun, saya dan Naim akan mengenakan persalinan berwarna kelabu. Manakala, pihak keluarga akan memakai pakaian putih.
Pada majlis resepsi yang akan diadakan pada jam 2.00 petang, berkemungkinan besar rakan-rakan The Marhaens akan membuat persembahan bagi menghiburkan tetamu yang datang. Saya harap walaupun majlis ini sederhana, tetapi ia akan diraikan oleh jiran-jiran, rakan-rakan dan pihak media yang selalu menyokong kehadiran saya dalam industri muzik,” tambah Ana lagi.
Ketika ditanya tentang jumlah mas kahwin dan wang hantaran yang bakal diberikan oleh Naim, kedua-dua belah pihak keluarga menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan. Namun begitu, pihak lelaki akan membawa tujuh dulang hantaran dan ia akan dibalas dengan sembilan dulang hantaran oleh pihak perempuan.
Mengimbas detik-detik perkenalan Ana dan Naim, Ana memaklumkan kali pertama dia bertemu dengan Naim pada 24 Julai 2005. Ketika itu mereka diperkenalkan oleh sepupunya yang merupakan seorang jurugambar.
“Setelah diperkenalkan, kami terus berhubungan sebagai seorang kawan. Tetapi, lama-kelamaan, saya mendapati kami punya keserasian dan pada tanggal 28 Oktober 2008, kami memutuskan untuk menjalinkan percintaan. Saya pun tidak sangka hubungan sebagai rakan baik dengan Naim akan berakhir ke jinjang pelamin,” ujar Ana.
Dalam masa yang sama, Ana juga mengakui dia terpikat dengan Naim kerana lelaki itu seorang penyabar dan ikhlas dengan perhubungan mereka. Sempena dengan majlis perkahwinannya nanti, Ana telah mencipta sebuah single yang ditujukan khas untuk bakal suaminya itu. Single berjudul ‘Sampai Bila’ itu berkisar kisah percintaan mereka yang berjalin lebih lima tahun itu. - Gua
No comments:
Post a Comment