PKR akan menyambut kepulangan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kembali bertugas dengan pendedahan terbaru berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan keluarga menteri pembangunan wanita itu.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata pendedahan tersebut, Rabu depan, adalah mengenai dakwaan pembelian hartanah oleh keluarga menteri tersebut.
Buat masa ini tidak dapat dipastikan sama ada dakwaan pembelian itu berkait dengan National Feedlot Corporation -- syarikat milik keluarga menteri berkenaan yang terjebak dalam skandal projek lembut Pusat Fidlot National.
"Shahrizat akan kembali minggu ini jadi mungkin kita akan sambut dia dengan sesuatu... Kita sedang mengesan lebih banyak hartanah yang mungkin telah dibeli oleh keluarga itu," kata Rafizi kepada Malaysiakini.
Shahrizat bercuti tiga minggu, berakhir minggu ini, untuk membantu siasatan berhubung dakwaan skandal itu.
PKR sebelum ini mendedahkan mengenai pembelian kondominium mewah bernilai kira-kira RM10 juta di Singapura namun tidak dapat mengesahkan bahawa dana NFC digunakan untuk membeli hartanah tersebut.
Keluarga menteri itu setakat ini masih belum mengesahkan atau menafikan perkara itu.
Bagaimanapun, sebahagian daripada pinjaman RM250 juta untuk projek NFC disahkan telah diguna untuk membeli dua unit kondominium mewah atas nama NFC - malaysiakini
No comments:
Post a Comment