08 March 2012

PRU 13 : Tsunami kecil bakal melanda selatan tanahair

PRU13: Tsunami kecil bakal berlaku di selatan

KUALA LUMPUR- PAS menjangkakan satu tsunami kecil akan berlaku di selatan tanahair pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar, berkata ia berikutan perkembangan politik terbaru yang menyaksikan kesedaran di kalangan rakyat semakin meningkat.
Selain sambutan baik terhadap program Pakatan Rakyat yang diadakan, tahap kesedaran di kalangan anak muda yang semakin meningkat turut memberi impak kepada Pakatan Rakyat.
"Lebih-lebih lagi, apabila terdapat anak muda yang bekerja di bandar yang menyampaikan maklumat kepada ibu bapa mereka, yang akhirnya dapat mengubah serba-sedikit pandangan mereka," jelas Zulkefly.
Katanya di Negeri Sembilan, komposisi penduduknya bercampur-campur, di antara pengundi Melayu, Cina dan India, khususnya di kawasan bandar.
"Kedudukan tersebut sebenarnya memberikan keselesaan kepada kita kerana masyarakat Cina seolah-olah menolak terus kepimpinan BN. Kalau unjuran dibuat, hari ini sokongan masyarakat Cina boleh meningkat sehingga 80 peratus, saya berkeyakinan Negeri Sembilan boleh jatuh ke tangan Pakatan Rakyat," tegas beliau dalam wawancara dengan Harakahdaily.

Tambah beliau, di Negeri Sembilan, Pakatan Rakyat memerlukan lebih kurang empat kerusi untuk menang.
Manakala, kata Zulkefly, tujuh lagi kerusi yang kalah dengan majoriti 1,300 ke bawah memerlukan lonjakan tiga hingga lima peratus untuk menang.
"Mana-mana analisis politik mengatakan jika tiga hingga lima peratus lonjakan diperlukan, ia paling kritikal. Cuma, bagaimana kita memastikan perubahan itu terus berlaku," tegasnya sambil menekankan soal calon, gerak kerja dan strategi yang digunakan untuk mencapai kemenangan.
Tambah beliau, sokongan Melayu kepada Pakatan Rakyat juga tidak menurun, tetapi dilihat meningkat dan keadaan itu bukan sahaja di Negeri Sembilan, tetapi juga di Melaka dan Johor.
Di Johor, kata Zulkefly, suasana politiknya juga berkembang di mana beberapa kawasan parlimen dijangka boleh ditawan Pakatan Rakyat seperti Pulai dan Simpang Renggam.
"Jika di Simpang Renggam, komposisinya 55, 45 peratus. Kalau mereka undi kita 65 hingga 80 peratus, sudah tentu kita boleh buat lonjakan baru di Johor hingga Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tidak semestinya BN akan terus berkuasa di Johor. Ia satu mesej yang jelas BN Johor bimbang," tegas beliau lagi.
Menjelaskan sambutan rakyat terhadap program Pakatan Rakyat, beliau berkata sebagai 'waiting government', PAS bekerja secara menyeluruh dengan melihat rakyat secara keseluruhannya.
Katanya, kesan dari turun padang yang dilaksanakan, sokongan di peringkat akar umbi dilihat meningkat dan banyak aduan berkaitan masalah setempat disampaikan terus kepada PAS.
Lebih menarik, tambahnya yang membuat aduan itu bukan hanya ahli PAS sahaja, tetapi juga ahli Umno.
"Saya sendiri banyak menyelesaikan masalah yang dihadapi ahli Umno. Baru-baru ini datang rakyat dari kawasan BN yang mengadu tentang nasib mereka yang tidak mendapat bekalan air. Jadi, kita tidak pandang parti. Kita cuba atasi segala masalah dan aduan rakyat apabila bekerja sebagai 'waiting government'," jelas Zulkefly.
Bagi menangani beberapa perkara berkaitan kuasa DAP yang dibimbangi menjadi penghalang masyarakat Melayu mengundi Pakatan Rakyat, Zulkefly berkata PAS menggunakan pendekatan penerangan kepada rakyat.
"Kita selalu membangkitkan isu, bagaimana DAP hendak menguasai kerajaan persekutuan, sedangkan semua maklum parlimen mempunyai 222 kerusi dan DAP hanya bertanding 49 atau 50 kerusi. Tidak sampai satu pertiga majoriti," jelas beliau.
Sehubungan itu, tegas beliau rakyat perlu tahu kedudukan kerusi yang ditandingi DAP, yang mana DAP hanya akan berlawan dengan MCA, manakala PAS dan PKR akan menentang Umno.
"Bagi mengelakkan kekeliruan, kita bergerak dari rumah ke rumah sambil mengedarkan risalah tentang tohmahan kononnya jika Pakatan Rakyat menang, DAP akan menjadi Perdana Menteri," kata Zulkefly.
Sedangkan, kata beliau pada konvensyen DAP, Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng sendiri menyebut parti itu tidak akan menghantar calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.
Beliau turut mengulas tentang perdebatan antara Guan Eng dengan Presiden MCA, Dato' Seri Chua Soi Lek yang jelas menunjukkan MCA berpegang kepada perkauman.
"DAP sering dikaitkan sebagai cauvinist, sedangkan MCA sebenarnya bersifat sedemikian. Kenyataan Soi Lek jelas menjatuhkan maruah Umno apabila nekad menentang Umno sekiranya melaksanakan undang-undang syariah," tegas beliau.
Manakala, Guan Eng pula bersikap sebaliknya apabila menyatakan DAP menghormati pengamal agama lain sekiranya PAS melaksanakan undang-undang Islam, dan berkeyakinan dalam masa sama PAS juga menghormati amalan agama penganut lain.
Sikap Guan Eng itu, jelas Zulkefly membuktikan DAP bukanlah sebuah parti cauvinis, sebaliknya dengan MCA apabila berhasrat menentang Umno sekiranya mengamalkan undang-undang Islam.
"Saya dimaklumkan, Soi Lek sebenarnya tidak berkemampuan untuk bertutur dalam bahasa Mandarin. Tetapi meminta debat diadakan dalam bahasa tersebut. Kenapa? Kerana dia tidak mahu orang Melayu tahu intipati perdebatan tersebut yang jelas bersifat perkauman," tegas beliau.
-harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive