KUALA LUMPUR - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Occupy Dataran mahu terus berkhemah di Dataran Merdeka sehingga Sabtu ini, meskipun berhadapan dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
DBKL bertindak tegas mengusir aktivis terbabit dengan merampas khemah-khemah mereka sekitar jam 6.15 pagi tadi.
"Kami akan berkhemah malam ini sehingga 28 April ini. Kami akan terus memasang khemah baru.
"Kuliah dan ceramah tetap akan diteruskan seperti biasa walaupun dihalang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," kata Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini ketika dihubungi wartawan Sinar Harian Online.
Tinjauan sekitar 8 malam tadi mendapati mereka belum menaikkan khemah, sebaliknya berteduh di khemah yang didirikan sempena konsert diraja Sabtu lalu.
Sekitar 30 orang berada di situ manakala sebahagian lagi tunggu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
"Khemah-khemah dirampas dan kami hanya sempat menyelamatkan makanan sahaja. DBKL terus bertindak tanpa berbincang dengan kami.
"Kami sangat terkejut, kira-kira 60 orang anggota DBKL datang menyerbu dan kami hanya berjumlah 20 orang disini," katanya lagi.
Kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, empat orang aktivis mereka ditahan kerana ingin memasang khemah semula. DBKL bertindak menyita dan mengosongkan kawasan perkhemahan mereka.
"Biarpun diancam dengan pelbagai ujian, hujan dan panas, kami tetap akan terus berkhemah dan berjuang mengenai isu ini," tegas beliau.
Empat peserta protes masih ditahan di IPD Dang Wangi untuk disoal siasat berhubung kejadian itu.
Pemimpin dan wakil SMM masih berkumpul di pekarangan IPD Dang Wangi.
Tinjauan Sinar Harian Online juga mendapati ramai individu yang tidak dikenali datang memberi sumbangan khemah dan makanan kepada mereka yang berhimpun di Dataran Merdeka. - Sinar Harian
Sumber gambar : Stone Image
Sumber gambar : Stone Image
1 comment:
nampak mcm campor lelaki perempuan tidor sekali ke?...maaf mata ninda ni kureng terang...sila cerahkan..anyone
Post a Comment