NONEMenteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mempersoalkan niat dua pemimpin pembangkang yang hari ini melawat mangsa kemalangan perlumbaan drag yang dianjurkan sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.
    
Beliau tertanya-tanya sekiranya ia hanya bertujuan cuba meraih populariti politik daripada kes kemalangan itu.
    
"Cuma kalau dibuat dengan tujuan politik untuk menunjukkan himpunan ini tak bagus misalnya, rakyat akan tahulah.
    
"Kalau dia benar-benar ikhlas sepatutnya dia turut melawat polis dan wartawan yang cedera akibat dipukul peserta perhimpunan Bersih baru-baru ini," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
    
Terdahulu hari ini, dua Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan N. Surendran melawat mangsa kemalangan itu di Hospital
Putrajaya, dan meminta penyiasatan penuh dijalankan dan sedia menawarkan bantuan guaman kepada mangsa sekiranya diperlukan.

Dalam kejadian yang berlaku tengah malam semalam di Lebuh Wadi Ehsan di Presint 19 di sini, seramai 17 penonton perlumbaan drag yang diadakan sempena himpunan itu cedera, termasuk empat yang parah apabila sebuah daripada kereta yang mengambil bahagian dalam acara tersebut terbabas.

Tiga mangsa yang masih dirawat di hospital itu ialah Muhammad Iskandar Rasiq Shaari, 20, Ami Nakim, 27, dan Muhamad Fairuz Jalaludin, 27, manakala seorang lagi telah dipindahkan ke Hospital Kuala Pilah.
    
Ahmad Shabery berkata pihaknya bersedia mengambil tindakan termasuk menyenarai hitam penganjur perlumbaan itu sekiranya mereka didapati bersalah dalam hal itu.

- Bernama