KUALA LUMPUR - Hanya 26 daripada 141 individu yang dikehendaki polis kerana dipercayai terlibat dalam perhimpunan pada 28 April di ibu negara telah menyerah diri.
Jumlah itu ialah sehingga pukul 7 malam ini dan tempoh menyerah diri yang diberikan polis akan tamat tengah malam ini.
"Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam," kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur ACP Khairy Ahrasa ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 28 April lepas, segelintir peserta perhimpunan bertindak merempuh penghadang untuk memasuki Dataran Merdeka sekali gus melanggar perintah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang melarang kehadiran orang awam di dataran itu mulai 28 April hingga 1 Mei.
Berikutan rusuhan itu, polis menyiarkan gambar peserta berkenaan melalui media dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin berkata polis akan membuat tangkapan dari rumah ke rumah terhadap peserta perhimpunan yang enggan menyerah diri mulai Rabu ini setelah tempoh seminggu diberikan untuk mereka.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak membenarkan perhimpunan itu dijalankan di Dataran Merdeka dan memberikan tempat lain sebagai pilihan kerana dataran hanya sesuai untuk acara rasmi peringkat nasional. - Bernama
No comments:
Post a Comment